Isu kekurangan tenaga kerja Sime Darby Plantation dijangka selesai pada pertengahan 2023, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Isu kekurangan tenaga kerja Sime Darby Plantation dijangka selesai pada pertengahan 2023, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan isu kekurangan tenaga pekerja Sime Darby Plantation Berhad akan selesai pada pertengahan tahun ini dengan kumpulan itu merancang membawa masuk lagi 5,000 pekerja Indonesia pada separuh pertama 2023.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga menyasarkan peningkatan pengeluaran buah tandan segar (BTS) antara 10% hingga 15% diketuai oleh Malaysia (10% hingga 15%), Indonesia (7% hingga 8%) dan Papua New Guinea sebanyak 5%.

 

Katanya, ia juga menyaksikan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah antara RM2,100 hingga RM2,300 bagi setiap tan untuk tahun ini memandangkan aliran menurun bagi kos baja dan pengeluaran yang lebih tinggi.

 

"Penggunaan baja untuk 2022 hampir mencapai sasaran setahun penuh.

 

"Akhir sekali, kumpulan itu juga memperuntukkan modal sebanyak RM3 bilion untuk FY23 dengan 1/3 untuk aktiviti penanaman semula, RM700 juta untuk pembinaan kilang penapisan minyak dan lemak khusus baharu di Sumatera dan selebihnya untuk pembinaan loji biodiesel dan loji gas di Malaysia.

 

"Apabila siap pada Ogos 2024, kilang penapisan itu akan menyumbang kapasiti pengeluaran tahunan lebih daripada 450,000 tan produk berasaskan sawit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pendapatan teras kumpulan menyusut kepada RM563 juta, dipengaruhi oleh sumbangan pendapatan yang lebih lemah daripada aktiviti huluan Malaysia (-57%), huluan Papua New Guinea (- 56%) dan hiliran (-69%).

 

Katanya, prestasi hambar bagi aktiviti hiliran disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah dan margin yang lebih lemah daripada kilang penapisan Eropah dan kerugian nilai saksama pada lindung nilai komoditi yang timbul daripada kenaikan harga pada suku tersebut

 

Bagaimanapun, ia diimbangi oleh keputusan yang lebih tinggi daripada bahagian pukal Asia dan segmen yang berbeza.

 

"Sementara itu, pendapatan dari huluan Indonesia meningkat sebanyak 15% dari tahun ke tahun kepada RM460 juta," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.60 sesaham. - DagangNews.com