Itali kekal lihat Malaysia ‘lubuk’ pelaburan menarik | DagangNews Skip to main content

Itali kekal lihat Malaysia ‘lubuk’ pelaburan menarik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Malaysia terus menawarkan peluang perdagangan dan pelaburan yang menarik buat Itali. 

 

Negara itu mengakui bahawa kelebihan yang ditawarkan Malaysia sukar untuk ditemui di negara-negara lain di rantau Asia Tenggara. 

 

Duta Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto menekankan bahawa negaranya meneruskan sebuah strategi dengan matlamat untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN.

 

"Hasil penting ini mewujudkan hubungan politik, ekonomi dan sosial yang berkembang dari masa ke masa, di mana memberikan kita peranan penting di Asia Tenggara. 

 

“Dalam kerangka ini, Itali telah mewujudkan hubungan baharu yang mendalam dengan Malaysia, mewakili salah satu negara yang paling relevan di kawasan ini dan menawarkan banyak faedah yang tidak mudah dijumpai di rantau ini,” katanya. 

 

Kenyataannya dipetik menerusi siaran akhbar bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Penyelidikan ASEAN CIMB (CARI), hari ini. 

 

Maggipinto turut berkongsi bahawa walaupun berlakunya pandemik COVID-19, namun perdagangan dua hala antara Itali dan Malaysia semasa tujuh bulan pertama 2020 kekal pada tahap yang sama dengan 2019.

 

Menurut siaran akhbar berkenaan, syarikat Itali yang beroperasi di Malaysia melibatkan pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, pertahanan dan aeroangkasa, pembinaan, automotif, dan bahan kimia.

 

Perkongsian Maggipinto itu dipetik ketika webinar ‘Italian Industry Expertise in Malaysia’, anjuran CARI dengan kerjasama ASEAN Business Club.

 

Turut dijemput sebagai panel adalah Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud; Maggipinto; Timbalan Pengerusi Eurocham Malaysia dan Ahli Lembaga Eksekutif Persatuan Perniagaan Itali Malaysia (IMBA), Luciano Pezzotta; Pengarah Urusan Ibu Pejabat Serantau CRIF Asia, Lamberto Barbieri; Presiden Persatuan Perniagaan Itali Malaysia dan Naib Presiden Asia Pasifik, Jualan Global Leonardo (Bahagian Helikopter), Vincenzo Alaimo; dan Pengurus Negara (Malaysia) Maire Tecnimont dan Pengerusi Allied Elite Limited, Dr. Luciano Giorgi.

 

Dikendalikan oleh Pengerusi CARI, Tan Sri Dr. Munir Majid, webinar itu menekankan perbincangan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru ditandatangani di mana menyediakan platform luar biasa untuk syarikat multinasional memasuki kawasan perdagangan serantau yang mewakili 30% Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) dunia. 

 

Malaysia sebagai ahli RCEP yang berdaya saing menawarkan perdagangan dan peluang pelaburan signifikan, termasuk untuk perniagaan Itali yang beroperasi di rantau ini.

 

Pada webinar berkenaan, Azman menekankan bahawa Malaysia akan kekal menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing walaupun terdapat ketidaktentuan global. 

 

Ini terbukti apabila negara menyaksikan sebanyak AS$26.4 bilion nilai pelaburan yang diluluskan di seluruh ekonomi pada enam bulan pertama 2020. 

 

Malah, jelas Azman, pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan bagi tempoh berkenaan juga menyaksikan peningkatan sebanyak 16.6% dari segi pelaburan modal berbanding tempoh sama pada 2019 di mana meningkat hanya 3.2%. 

 

“Struktur ekonomi Malaysia dan pengurusan ekonomi makro yang kukuh terus menyokong asas ekonomi negara seiring kami menerapkan kebiasaan baharu. 

 

“Ketika kita menuju ke arah kepelbagaian strategi, terutama dalam produk bernilai tinggi dan perkhidmatan canggih, negara ini menawarkan peluang besar untuk pelaburan Itali dalam mesin dan peralatan berkualiti tinggi, aeroangkasa, teknologi hijau, teknologi automotif, dan reka bentuk industri.

 

“MIDA yakin bahawa pelaburan yang lebih berkualiti akan memasuki Malaysia pada tahun-tahun mendatang,” ujarnya lanjut. 

 

Dalam masa sama, Azman turut menyeru sektor swasta Malaysia untuk memanfaatkan kepakaran teknologi Itali untuk membantu ekonomi digital Malaysia yang dijangka berkembang sebanyak 21% antara 2020 hingga 2025.

 

Unjuran itu dijangka mencecah sekitar AS$30 bilion dari segi nilai barangan kasar (GMV) menjelang 2025. - DagangNews.com