Jangan 'kebumikan' industri hotel | DagangNews Skip to main content

Jangan 'kebumikan' industri hotel

Industri Hotel

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Ramai yang berkongsi kerinduan untuk melancong di tempat cantik, jauh dan menginap di hotel indah bersama tersayang seperti sebelum ini.

 

Namun, ia sekadar perkongsian di ruangan media sosial untuk mengubat diri sendiri khususnya kaki jalan yang sering melakukan perjalanan dan pengembaraan sama ada di dalam atau luar negara.

 

Sejak kemunculan wabak COVID-19 di Malaysia awal tahun lalu, industri pelancongan kita dihimpit pelbagai cabaran.

 

Terpaksa menanggung kerugian, perniagaan ditutup, malah ada yang terpaksa menjual kemudahan pelancongan akibat impak ekonomi.

 

Sebanyak 109 hotel terpaksa ditutup pada 2020 susulan kehadiran virus yang boleh dianggap seperti tetamu yang tidak diundang, malah membinasakan.

 

Sejak Mac hingga Oktober 2020 pula, 77 syarikat yang terdiri dari hotel dan hotel peranginan, motel, hotel pangsapuri, chalet dan lain-lain telah menamatkan operasi.

 

Impak tersebut mengheret industri pelancongan negara kita mengalami kerugian lebih RM100 bilion akibat penularan gelombang wabak COVID-19.

 

Soalnya, bagaimana dengan nasib industri hotel negara hari ini? Masih 'sakit' seperti awal PKP pertama? Semakin dibela atau lebih sengsara menanti hari duka 'pengebumian'?

 

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, industri perhotelan sekali lagi kehilangan semua punca pendapatan setelah hampir satu tahun menanggung kerugian.

 

Yap Lip Seng
Yap Lip Seng

 

Jelasnya, industri perhotelan kemungkinan besar tidak akan dapat bertahan lebih lama lagi dan keadaan semasa dijangka lebih teruk berbanding tahun lepas pada permulaan PKP dengan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak baru-baru ini.

 

"Walaupun industri telah mengambil pelbagai tindakan dan inisiatif mengurangkan kos operasi, bantuan kerajaan pada masa ini tidak mencukupi dan telah ada hotel-hotel yang terpaksa tutup sepenuhnya. 

 

"Sekiranya keadaan ini berlanjutan dan kerajaan masih tidak menghulurkan bantuan yang sepatutnya, industri akan lumpuh," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Ditanya berhubung PKP 2.0 yang disambung hingga 18 Februari nanti, beliau memberitahu, apa jua perintah yang dikenakan dilihat tidak efektif  disebabkan oleh kelemahan dalam penguatkuasaan sekali gus menyebabkan lanjutan kawalan dan larangan yang berlebihan.

 

"Kerajaan patut memberi lebih perhatian kepada penguatkuasaan SOP, dan dilaksanakan secara konstruktif dipadankan dengan bimbingan pematuhan kepada pengusaha dan juga pengguna, dan bukan secara denda sahaja. Kerajaan perlu membina komuniti yang dibiasakan dengan SOP dan bukan hanya sekadar mematuhi peraturan.

 

"Kerajaan juga perlu faham bahawa sektor pelancongan dan perhotelan walaupun dalam SOP dibenarkan beroperasi, ia tidak akan dapat apa-apa pendapatan kerana larangan pergerakkan orang ramai.

 

"Persatuan Hotel Malaysia telah lama meminta kerajaan untuk menaikkan kadar subsidi upah dengan kadar 50% untuk yang bergaji sehingga RM4,000 dan 30% untuk yang bergaji sehingga RM8,000. Ini adalah satu-satunya cara untuk melindungi industri dan pekerja," tambah beliau lagi.

 

Dalam konteks bantuan untuk melindungi industri hotel juga, diskuan khas bil elektrik sebanyak 10% yang diumumkan dalam pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) adalah rendah berbanding cadangan MAH iaitu pada kadar 50%.

 

Kebimbangan tersebut turut mendapat perhatian dan maklum balas Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein yang menyatakan, industri hotel secara realitinya terjejas teruk meskipun dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0.

 

Katanya, perkara itu berlaku disebabkan kekurangan jumlah pengunjung hotel akibat sekatan rentas negeri.

 

Emmy Suraya Hussein
Emmy Suraya Hussein

 

"Pelanggan tak boleh datang rentas negeri ke hotel untuk beraktiviti seperti kursus dan lain-lain, hanya harapkan masyarakat setempat sahaja. Masyarakat setempat ini tak pergi menginap di hotel.

 

"Hinggakan kita punya langkah promosi dengan sokongan MOTAC dan Tourism Malaysia seperti “Jom Nginap Touch'n Go' tidak mencapai target yang diinginkan.

 

"Ramai juga kakitangan yang terpaksa diberhentikan, ambil cuti tanpa gaji kerana pihak hotel tak dapat nak tanggung kos. Walau tak mahu, tapi terpaksa buat," jelasnya lagi.

 

Sejak PKP pertama hingga Oktober 2020, 20% daripada 2,300 hotel bajet di negara ini terpaksa menutup operasi secara sementara dan terus.

 

Bagaimanapun, jumlah tersebut makin bertambah sebanyak 15% lagi kepada 35% bagi tempoh hingga Januari 2021.

 

Tambah beliau, industri hotel negara perlu diberi perhatian khusus demi kelangsungan dan 'survival'.

 

Bantuan tersebut bukan sahaja kepada pengendali hotel, malah kepada pekerja hotel yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan tanggungan lain.

 

"Kalau kerajaan tidak bantu, cara apa lagi yang boleh membantu industri hotel. Bukan untuk jana keuntungan, tetapi bantuan untuk tampung dan bertahan supaya tak ada kes buang pekerja, tidak bayar gaji dan supaya pekerja dapat tanggung keluarga mereka," luahnya.

 

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Hotel Sabah, Ladis Yaman dengan rasa sayu berkongsi realiti yang terpaksa dilihat dan ditanggung pekerja hotel.

 

Ladis Yaman
Ladis Yaman 

 

Jelasnya, industri hotel benar-benar berada dalam tekanan dan terpaksa memilih untuk menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

 

"Bermula Disember 2020 lalu, kebanyakan hotel-hotel di Kota Kinabalu, Sabah terpaksa tawarkan VSS dengan hanya bayaran tiga bulan gaji kerana terjejas teruk dan tiada pelanggan.

 

"Kira-kira 101 orang pekerja hotel yang membuat keputusan menerima tawaran VSS dan berhenti kerja.

 

"Majoriti pekerja hotel di sini juga hanya kerja dua hari seminggu dan hanya bergantung kepada gaji pokok yang rendah. Kalau sebelum ini ada upah perkhidmatan, sekarang upah perkhidmatan tiada sebab tiada pelanggan," katanya lagi. - DagangNews.com