Jangan pasang bahan kempen di premis, pepasangan elektrik TNB | DagangNews Skip to main content

Jangan pasang bahan kempen di premis, pepasangan elektrik TNB

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan semua parti politi yang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar tidak memasang bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti nasional itu.

 

Ketua (Operasi) Bahagian Distribution Network (Rangkaian Pembahagian) TNB, Mohd. Yusof Ibrahim berkata, laranagan itu merangkumi tindakan menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

 

Katanya, pihaknya juga sudah melakukan persiapan rapi dalam memastikan bekalan elektrik di pusat-pusat pengundian dan penjumlahan undi pada 20 November ini berada dalam keadaan baik.

 

Beliau memberitahum fokus persiapan adalah memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan sentiasa terjamin bagi memastikan kelancaran bekalan sehingga upacara angkat sumpah Ketua Menteri yang baharu.

 

"Seperti kebiasaan, kita pastikan gangguan yang minimum atau tidak berlaku sebarang gangguan sepanjang musim pilihan raya. 

 

“Persiapan TNB melibatkan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihanraya Negeri Melaka, JKR Melaka dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di pusat-pusat yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan, antaranya membuat penjadualan henti tugas terancang, pembaikan segera pepasangan kabel bawah tanah dan menaik taraf pencawang sedia ada kepada fasiliti yang dikawal secara automasi melalui sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA).

 

Bilik gerakan negeri dan bilik gerakan operasi juga diwujudkan untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal. 

 

Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar TNB boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perkara yang tidak diingini berlaku.-DagangNews.com