Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Julai - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga bagi menguruskan pengeluaran i-Citra ahlinya.
Susulan itu, KWSP mengingatkan ahlinya agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak atau iklan yang menawarkan bantuan berkenaan.
"Berwaspada terhadap iklan permohonan Pengeluaran i-Citra yang dikongsikan melalui saluran media sosial.
"Ingat, permohonan pengeluaran hanya boleh dibuat melalui portal i-Citra Online di https://icitra.kwsp.gov.my," jelas KWSP dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Melalui perkongsian di laman sosial sama baru-baru ini, KWSP turut mengingatkan agar ahlinya tidak berkongsi paparan maklumat atau status permohonan i-Citra.
Menurut kumpulan itu, tindakan berkenaan adalah bagi mengelak daripada menjadi sasaran penipuan atau 'scammer'.
"Jangan kongsi maklumat bank atau status permohonan i-Citra anda di media sosial dan jadi mangsa penipuan!
"Laporkan sebarang info yang mencurigakan ke Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.
Sebarang pertanyaan berkaitan pengeluaran i-Citra, orang ramai boleh menghubungi talian 03-89224848 bermula Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.00 petang. - DagangNews.com