Jangkaan jualan kenderaan 2021 diturunkan kepada 500,000 unit - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Jangkaan jualan kenderaan 2021 diturunkan kepada 500,000 unit - CGS CIMB

sektor automotif

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Prestasi jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2021 dijangka terjejas dengan unjuran keseluruhan jualan diturunkan kepada 500,000 unit berbanding 580,000 unit pada sebelumnya.

 

CGS-CIMB Research berkata, penurunan itu dibuat setelah menilai kepada kelewatan pembukaan operasi sektor automotif negara yang dijadualkan pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September 2021.

 

Susulan daripada itu, TIV dijangka berlaku penurunan sebanyak 6% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Kami membuat semakan semula terhadap jangkaan TIV 2021 daripada 580,000 unit kepada 500,000 unit.

 

"Penurunan itu dibuat dengan mengambil kira kelewatan pembukaan semula sektor automotif yang dijadualkan pada Fasa 3 PPN hingga September, kami pada awalnya menjangkakan sektor ini akan beroperasi semula pada pertengahan Julai.

 

"Penurunan ini juga selaras dengan jangkaan TIV 2021 yang dibuat MAA (Persatuan Automotif Malaysia) yang menurunkan jumlah jualan kepada 500,000 unit berbanding 570,000 unit," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas perkara sama, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya mengunjurkan penurunan TIV 2021 sebanyak 5.6% kerana jumlah jualan kenderaan jenama nasional dan luar negara masing-masing jatuh 3% dan 10%.

 

Bagi rekod, TIV pada Jun 2021 menjunam 96% bulan ke bulan, daripada 47,204 kepada 1,921 unit disebabkan oleh perintah berkurung penuh di seluruh negara yang mana sektor automotif tidak disenaraikan sebagai sektor ekonomi penting.

 

Sementara itu, TIV pada suku kedua 2021 juga turut merosot 24% berbanding suku sebelumnya susulan pelaksnaan pelbagai perintah pergerakan pada Mei hingga Jun 2021 selain masalah berkaitan kekurangan cip semikonduktor di seluruh dunia.

 

CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengekalkan penarafan 'neutral' sektor automotif negara di samping menjadikan Sime Darby sebagai pilihan utama. - DagangNews.com