Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bantu lonjakkan perniagaan usahawan IKS di Kelantan | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bantu lonjakkan perniagaan usahawan IKS di Kelantan

oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 23 Julai - Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Kelantan menyifatkan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi keenam yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV sejak semalam sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka.

 

Tinjauan DagangNews.com di tapak jualan IKS mendapati pengunjung tidak melepaskan peluang membeli pelbagai barangan yang dijual antaranya ikan 'bekok', ikan lunak, makanan sejuk beku, pakaian batik dan wanita, madu kelulut serta jus minuman buah-buahan segar.

 

Antara aktiviti menarik yang berlangsung di tapak khemah jualan IKS ialah perkongsian kejayaan oleh usahawan yang menggunakan telefon pintar bagi pemasaran digital atas talian di aplikasi Shoppe dan Lazada serta sembang santai usahawan bersama Kak Yah dan Kak Pah Ike Bekok serta perkongsian dari chef selebriti iaitu Datuk Chef Zam.

 

Seorang usahawan, Norseha Mohamad Astapa, 42 berkata beliau mensasarkan jualan ikan lunak sebanyak RM10,000 sepanjang tiga hari program Jelajah AKM itu berlangsung.

 

"Ikan lunak adalah keluaran kumpulan isteri-isteri nelayan dari Tok Bali (Kunita Balimas) hasil inovasi Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

"Ini adalah kali pertama kami menyertai karnival berskala besar seperti ini dan sangat teruja kerana berpeluang memperkenalkan keistimewaan ikan lunak kepada pengunjung.

 

akm
Norseha Mohamad Astapa

 

"Ramai pengunjung yang membelinya kerana ia sangat mudah dimakan pada bila-bila masa dan di mana juga kerana tidak perlu dimasak atau dipanaskan, cuma tuang terus daripada bungkusan dan boleh dinikmati segera," katanya.

 

Selain UMK, projek ikan lunak itu juga turut mendapat bantuan penuh dari Kementerian Kewangan, Permodalan Nasional Berhad dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai satu inisiatif meningkatkan taraf sosio ekonomi komuniti nelayan di Tok Bali.

 

Selain menjual produk dengan harga yang murah, usahawan IKS juga mengambil kesempatan berada di Jelajah AKM itu untuk mendapatkan 'database' (pengkalan data) pelanggan dan mencari potensi jualan yang sesuai melalui sesi padanan perniagaan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi kerajaan. 

 

akm
Wan Sapiah Wan Yusoff

 

Turut menjadi tumpuan pengunjung di tapak khemah IKS ialah promosi Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pengukuhan jenama perniagaan oleh MyIPO dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Seorang lagi usahawan, Wan Sapiah Wan Yusoff, 33 berkata ikan bekok sentiasa menjadi pilihan pengunjung kerana keenakannya sebagai pembuka selera untuk makan tengah hari dan makan malam yang terkenal di Kelantan terutama bagi penduduk Tumpat.

 

"Ramai juga pengunjung dari luar Kelantan yang tertanya-tanya apakah maksud ikan bekok. Jadi saya ambil kesempatan ini untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai keistimewaan rasa ikan ini yang tidak sama seperti di tempat lain.

 

akm
Zubaidah Ramli

 

"Bagi saya, Jelajah AKM ini dapat meningkatkan martabat makanan tradisional rakyat Kelantan ke seluruh Malaysia dan hasil pameran kami ini berjaya menambat hati ramai bakal pelanggan yang mahu membelinya lagi pada masa akan datang," katanya.

 

Seorang lagi usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zubaidah Ramli, 25 pula berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana melalui Jelajah AKM kali ini, beliau dapat mengagihkan baucar istimewa RM10 kepada semua pengunjung yang akan membuat pembelian tulisan khat di kedainya selepas ini.

 

akm
Seorang usahawan madu kelulut melayan pengunjung yang datang ke reruai jualannya di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan.

 

"Kebiasaannya dalam karnival seperti ini, jualan tulisan khat berbingkai tidaklah begitu banyak namun ini lubuk untuk saya mendapatkan bakal pembeli dengan memperkenalkan koleksi yang ada.

 

"Semua pengunjung yang datang boleh menggunakan baucar istimewa itu untuk pembelian pertama dan berdasarkan pengalaman saya, strategi promosi ini kebiasaannya sangat berkesan untuk meningkatkan hasil jualan," katanya.- DagangNews.com