JKR, Sirim perkenal standard penarafan hijau kemudahan bangunan | DagangNews Skip to main content

JKR, Sirim perkenal standard penarafan hijau kemudahan bangunan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

SHAH ALAM, 8 Feb 2021: Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan SIRIM Berhad melancarkan standard terbaharu JKR/SIRIM 2:2020 iaitu Penarafan Hijau (pHJKR) bagi fasiliti bangunan kediaman dan bukan kediaman sebagai usaha menggalakkan pembangunan lestari.

 

Sirim menerusi anak syarikatnya, SIRIM STS Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan JKR bagi membangunkan standard berkenaan yang menetapkan kriteria penilaian dan kaedah untuk kelestarian fasiliti bangunan.

 

Pelancaran standard terkini itu telah diadakan secara maya sempena Webinar Penarafan Hijau Bagi Fasiliti Bangunan Kediaman & Bukan Kediaman yang dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Ir. Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani; Pengarah Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga, JKR, Farah Abdul Samad; dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS, Raja Yahya Raja Ariffin.

 

Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman dalam ucapannya pada pelancaran standard itu berkata, JKR telah melancarkan Pelan Strategik JKR 2021-2025 pada 29 September 2020 dalam memacu agenda pembangunan lestari nasional.

 

Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman
Mohamad Zulkefly Sulaiman

 

"Berdasarkan Tema Empat Pelan Strategik JKR ~ Memacu Kelestarian Infrastruktur, JKR secara langsung mendukung tujuh daripada 17 Sustainable Development Goals, SDG 2030 yang telah dipersetujui oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Malaysia,” katanya.

 

Standard itu memberi penekanan kepada tujuh bidang utama iaitu perancangan dan pengurusan tapak lestari;  pengurusan kecekapan tenaga; pengurusan sumber dan bahan; pengurusan kecekapan penggunaan air; pengurusan kualiti persekitaran dalaman; pengurusan fasiliti lestari; dan inovasi dalam reka bentuk.

 

Untuk rekod, JKR telah memperkenalkan pelbagai inisiatif ke arah pembangunan lestari semenjak tahun 2000 lagi.

 

Antaranya JKR Green Mission dan persijilan MS ISO 14001 (Environmental Management System, EMS) pada tahun 2002 serta penubuhan Jawatankuasa Pemacu Pembangunan Kelestarian dan pensijilan MS ISO 50001 (Energy Management System, EnMS) bagi bangunan ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur pada tahun 2015.

 

Mulai  2018, JKR dengan kerjasama SIRIM STS telah memulakan inisiatif menaik taraf manual pHJKR  kepada JKR/SIRIM 2:2020 yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2020.

 

“Setakat ini, penggunaan pHJKR telah mendapat hasil positif di mana terdapat 75 projek bangunan dan 38 projek jalan telah didaftarkan untuk penilaian.

 

“Berdasarkan penilaian penuh yang telah diadakan, 11 bangunan berjaya menjimatkan kos menguruskan wang kerajaan antara 24% hingga 42% setiap tahun yang melibatkan penjimatan kos sebanyak RM 7.372 juta atau bersamaan dengan 14.018 juta kilogram atau 14,000 ton CO2 equivalent yang dapat dielakkan pelepasannya (carbon avoidance),” ujar Mohamad Zulkefly lanjut.

 

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, standard yang diperkenalkan itu bukan yang pertama dibangunkan dengan kerjasama JKR dan SIRIM STS, malah usahasama pintar berkenaan telah terjalin sejak 2017.

 

Terdapat dua lagi standard yang telah berjaya dibangunkan antara JKR dan SIRIM STS iaitu JKR/SIRIM 1:2017, Manual for Green Product Scoring System; dan JKR/SIRIM 3:2020, Environmental protection and enhancement works for projects.

 

Ahmad Fadzil Mohamad Hani
Ahmad Fadzil Mohamad Hani

 

“Kesemua standard ini dibangunkan atas inisiatif JKR dengan kesedaran bahawa pentingnya untuk menyediakan keperluan, spesifikasi, garis panduan atau ciri yang boleh digunakan untuk memastikan bahan, produk, proses dan perkhidmatan yang dibekalkan adalah memenuhi keperluan dan kehendak, serta mencapai amalan terbaik di dalam bidang pembinaan dan pembangunan lestari,” katanya.

 

Katanya, JKR dan SIRIM STS kini dalam proses membangunkan Standard JKR bagi Indoor Environmental Quality (IEQ) for Government Office Building yang menggariskan keperluan merangkumi faktor-faktor umum yang mempengaruhi kualiti persekitaran dalaman dan elemen IEQ seperti kualiti udara dalaman, keselesaan akustik, keselesaan terma, keselesaan visual, pengemasan, serta keselamatan dan kesihatan.

 

Webinar Penarafan Hijau Bagi Fasiliti Bangunan Kediaman & Bukan Kediaman bertujuan memperkenalkan standard terbaru JKR berkenaan penarafan hijau dan kriteria penilaian untuk penarafan hijau.

 

Webinar itu memberi maklumat berkenaan program penarafan hijau bagi bangunan komersial dan kediaman serta mempromosi pembangunan lestari bangunan hijau kepada peserta yang terdiri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan; juruperunding seperti arkitek dan jurutera; pemaju dan kontraktor pembinaan; pembekal atau pengilang produk; dan syarikat pengurusan aset. – DagangNews.com