KUALA LUMPUR 2 Mac - JobStreet Malaysia dan syarikat induknya SEEK Asia hari ini mengumumkan pelancaran Pameran Virtual Kerjaya Terbesar di Asia yang menyediakan ribuan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi dan digital kepada calon yang layak.
Pameran kerajaya yang akan berlangsung bermula 9 Mac hingga 11 Mac 2022 ini bakal menawarkan pelbagai pekerjaan di dalam syarikat multinasional seperti Top Glove, RHB Banking Group, Dell Technologies, Intel, IBM dan TIME.
Selaras dengan tema transformasi digital, acara itu akan menampilkan konsep mobile-first, bagi membolehkan majikan serta calon pekerja dari seluruh Asia Tenggara termasuk Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, dan Hong Kong mengambil bahagian secara maya.
Calon-calon pekerja dan majikan boleh mengakses platform maya ini untuk pengambilan secara serta-merta menerusi sesi interaksi masa sebenar melalui jadual temuduga dalam talian.
Pengarah Urusan Jobstreet Malaysia, Vic Sithasanan berkata, pameran kerjaya itu menampilkan lebih daripada 2,300 calon yang berkelayakan dalam pameran itu.
"Mereka yang hadir pada program itu mempunyai akses kepada peneraju utama industri tanpa perlu melalui kesesakan lalu lintas serta bayaran tempat letak kenderaan dan perkara itu boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik sahaja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan Pekerjaan Jobstreet Malaysia 2022 menunjukkan peningkatan pengambilan pekerja sebanyak 42.4% dalam industri komputer dan teknologi selain perkhidmatan hartanah dan kewangan yang memerlukan calon bermahiran dalam teknologi digital.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEEK Asia, Peter Bithos berkata, pihaknya gembira kerana berjaya meneruskan kempen ‘Let’s Get To Work’ selain berbangga kerana dapat bekerjasama dengan syarikat teknologi tekemuka Asia dalam menyediakan calon pekerja yang berkualiti.
"Di SEEK Asia, kami turut menerajui usaha transformasi digital selain teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang enam kali lebih cekap dalam membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan ideal mereka.
"Kami gembira untuk berusaha lebih gigih bagi membuka lebih banyak peluang untuk calon dan majikan," katanya.
Orang ramai boleh melayari laman web https://careerfair.jobstreet.com.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu. - DagangNews.com