JPMorgan jangka sektor sarung tangan terus catat kerugian kesan purata harga jualan yang rendah | DagangNews Skip to main content

JPMorgan jangka sektor sarung tangan terus catat kerugian kesan purata harga jualan yang rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - JPMorgan Asia Pacific Equity Research menjangkakan sektor sarung tangan akan terus mengalami kerugian akibat purata harga jualan (ASP) lebih rendah.

 

Firma itu berkata, selain itu, lebihan kapasiti yang berterusan dalam sektor itu sekurang-kurangnya hingga akhir 2024.

 

Katanya, kenaikan ASP oleh pegeluar sarung tangan Malaysia telah dipenuhi dengan kadar tempahan yang rendah dan pada masa sama, China terus mengekalkan diskaun mereka kepada rakyat Malaysia.

 

Lebihan kapasiti merupakan faktor utama menyebabkan kerugian industri dan ia memerlukan masa dua tahun untuk mengurangkan lebihan itu walaupun pengembangan dan kapsiti lama dihentikan.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap sektor itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, lebihan kapasiti mungkin mengambil masa tiga tahun penuh untuk mencapai keseimbangan.

 

Katanya, berdasarkan unjuran Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), permintaan sarung tangan global akan meningkat 10% hingga 15% bermula 2022 hingga 2023 berbanding tahap pra-pandemik, permintaan tambahan tahunan adalah kira-kira 30 bilion helai setahun.

 

"Berdasarkan unjuran itu, kami menjangkakan ia memerlukan masa tiga tahun untuk lebihan bekalan diserap oleh permintaan tambahan," katanya.

 

Firma itu berkata, Kossan Rubber Industries Berhad berada di kedudukan terbaik untuk mengharungi keadaan itu.

 

Katanya, tunai bersih kumpulan itu berjumlah RM2 bilion, membentuk kira-kira 57% daripada permodalan pasarannya. - DagangNews.com