Jualan ekuiti pelabur asing terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Jualan ekuiti pelabur asing terus meningkat

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut yang menyaksikan aliran keluar berjumlah RM193.86 juta, meningkat berbanding minggu sebelumnya, RM135.63 juta.

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan berkata, bagi minggu berakhir 11 Jun, ia menandakan sudah 2 minggu pelabur asing menjual ekuiti selepas 2 minggu sebelumnya merekodkan aliran masuk.

 

"Apabila pasaran dibuka Selasa (cuti umum pada Isnin), pelabur asing membeli RM102.48 juta ekuiti tempatan.

 

"Pelabur runcit pula membeli ekuiti sebanyak RM3.98 juta manakala pelabur institusi tempatan menjual bersih ekuiti berjumlah RM106.45 juta," katanya hari ini.

 

Pelabur asing menjual ekuiti hampir setiap hari minggu lalu terutama Rabu, Khamis dan Jumaat. 

 

Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM142.58 juta.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka membeli bersih ekuiti setiap hari dengan paling banyak pada Rabu sebanyak RM82.8 juta manakala paling rendah pada Selasa.

 

"Secara terkumpul, pada minggu berkenaan, pelabur runcit membeli RM191.48 juta ekuiti di Bursa Malaysia.

 

"Aliran masuk pelabur institusi tempatan secara terkumpul pula hanya RM2.4 juta. Mereka membuat pembelian terutama pada Rabu dan Jumaat," katanya. 

 

Bagaimanapun, pelabur institusi hanya menjual ekuiti pada Selasa sebanyak RM106.45 juta, tetapi sebaliknya pembelian terbesar pada Jumaat iaitu RM72.67 juta. 

 

Menurut MIDF Research, sejak awal 2021, pelabur runcit secara terkumpul telah membeli RM7.09 bilion ekuiti tempatan dan muncul satu-satunya pembeli bersih.

 

"Pelabur institusi dan asing pula  masing-masing menjual ekuiti berjumlah RM3.67 bilion dan RM3.42 bilion," katanya. - DagangNews.com