Jualan Focus Point diunjur berkembang tahun ini meskipun pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Jualan Focus Point diunjur berkembang tahun ini meskipun pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - Focus Point Holdings Berhad menjangkakan jualan bagi 2023 terus berkembang meskipun pengguna akan lebih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka.

 

TA Securities berkata, kumpulan itu merancang untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan korporat baharu kerana ia akan menyediakan jualan berulang yang lebih stabil.

 

"Selain itu, permintaan untuk produk optik dijangka kekal berdaya tahan berikutan peningkatan kelaziman gangguan mata dalam kalangan penduduk berusia dan kecenderungan ke arah aliran fesyen terkini.

 

"Oleh itu, pihak pengurusan menyasarkan untuk membuka 12 cawangan optik baharu pada 2023, kebanyakannya di Lembah Klang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pusat pakar mata Focus Point, ExcelView di Mid Valley berjaya merawat lebih 15,000 kes sejak penubuhannya dan kumpulan itu telah membeli teknologi ReLEx SMILE bagi membetulkan astigmatisme dan rabun, yang berharga kira-kira RM5 juta.

 

Katanya, buat masa sekarang ExcelView merawat kira-kira 80-90 kes sebulan (perolehan RM500,000-600,000 sebulan) dan mereka mungkin membuka lebih banyak pusat pakar mata dalam jangka sederhana hingga lebih panjang.

 

Mengulas mengenai perkembangan bahagian makanan dan minuman (F&B), kumpulan itu akan membuka dua lagi cawangan Komugi pada tahun ini dan ia adalah penambahan kepada 11 cawangan sedia ada di Malaysia.

 

"Secara keseluruhannya, kami mengunjurkan bahagian F&B berkembang sebanyak 24.2% pada FY23 didorong oleh tempahan yang lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan baharu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.53 sesaham. - DagangNews.com