Jualan Glomac pada FY25 diunjur meningkat didorong pelancaran projek baharu bernilai RM799 juta - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Jualan Glomac pada FY25 diunjur meningkat didorong pelancaran projek baharu bernilai RM799 juta - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Jualan Glomac Bhd pada FY25 diunjur meningkat didorong pelancaran projek baharu bernilai RM799 juta termasuk Loop City Residences yang mula diperkenalkan pada penghujung April 2024.

 

TA Securities berkata, projek-projek itu akan memacu momentum jualan sepanjang tahun.

 

"Prospek jangka panjang Glomac kekal kukuh, disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh dan rangkaian projek pembangunan yang besar dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7 bilion.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kumpulan sementara mendapat maklumat lanjut daripada pihak pengurusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan meningkat 79.04% kepada RM7.28 juta bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2024 (1QFY25) berbanding RM4.06 juta setahun lalu, dipacu oleh hasil yang lebih tinggi dan margin keuntungan yang lebih baik.

 

Projek yang menyumbang termasuk Saujana Perdana dan dua projek kediaman bertingkat tinggi iaitu, Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences.

 

Keuntungan yang lebih besar itu juga disebabkan oleh pendapatan kewangan sebanyak 52.47% kepada RM1.17 juta daripada RM768,000 pada 1QFY24.

 

Hasil suku tahunan kumpulan juga meningkat 21.92% tahun ke tahun kepada RM73.29 juta daripada RM60.11 juta berikutan sumbangan hasil yang lebih kukuh daripada kedua-dua segmen pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Glomac merekodkan hanya RM20 juta dalam jualan baharu untuk 1QFY25, kerana pelancaran baharu untuk FY25 hanya akan bermula dari 2QFY25.

 

Katanya, jualan belum dibil terbaharu kumpulan berjumlah RM388 juta, menawarkan keterlihatan pendapatan untuk 12 hingga 18 bulan akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 62 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com