Jualan hebat, pakej percutian MAHB lonjak pelancongan domestik | DagangNews Skip to main content

Jualan hebat, pakej percutian MAHB lonjak pelancongan domestik

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Sebagai langkah melonjakkan sektor pelancongan domestik, Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi kerjasama dengan rakan kongsi industri dan runcit menawarkan pelbagai tawaran hebat. 

Langkah itu juga diambil bagi meneruskan usahanya untuk membantu rakan kongsi yang terjejas akibat COVID-19. 

Sehubungan itu, buat julung kalinya MAHB menganjurkan jualan besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA Crazy Sale yang dijangka dapat membantu peruncit di sana menembusi pasaran lebih luas di samping menawarkan diskaun hebat menerusi pelancongan eksklusif dan produk tanpa duti kepada orang ramai. 

Selain itu, MAHB turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menganjurkan Cuti-Cuti Malaysia Mini Travel Fair bersempena KLIA Crazy Sale. 

Sebagai nilai tambahan, KLIA menerusi anak syarikat Sama Sama Hotel KLIA akan menawarkan peluang terhad kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman unik dan eksklusif di lapangan terbang menerusi pakej Airport Staycation. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh, KLIA Crazy Sale akan menyediakan peruncit KLIA dengan tambahan tempat bagi memasarkan produk mereka. 

 

Datuk Mohd. Shukrie
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

 

“Ini adalah kali pertama kami menganjurkan acara sebegini. Sebelum ini, pasaran peruncit kami hanya terhad kepada penumpang sahaja kerana lokasi di bahagian udara tidak dibuka kepada bukan penumpang.

“Ekoran jumlah penumpang yang rendah, hasil jualan mereka terjejas secara signifikan. Menerusi jualan ini, kami dapat membantu meningkatkan prestasi jualan mereka.

“Dalam pada itu, orang awam juga dapat menikmati pelbagai diskaun pelancongan eksklusif dan produk tanpa duti seperti  Eraman, Valiram, Heinemann dan Lagardere,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Jualan dan pameran pelancongan akan dianjurkan di Aras 5, Ruang Berlepas dan Anjung Tinjau di terminal utama KLIA bermula 26 hingga 31 Ogos 2020, yang juga berlangsung ketika minggu sambutan Hari Kemerdekaan. 

Selain diskaun sehingga 70% melibatkan item seperti minyak wangi dan kosmetik, coklat dan fesyen, terdapat juga tawaran menarik lain seperti ruang letak kereta dan hadiah percuma tanpa perbelanjaan minimum. 

Pembeli-belah juga berpeluang memenangi baucer beli-belah bernilai sehingga RM3,000 setiap hari menerusi cabutan bertuah yang dianjurkan. 

Mereka yang hadir juga tidak perlu bimbang soal kesihatan kerana langkah keselamatan dilaksanakan di kedua-dua lapangan terbang dan hotel serta kawasan orang ramai disanitasi setiap tiga jam.

Mereka yang berminat boleh layari laman media sosial @shopMYairports di Instagram dan Facebook untuk maklumat lanjut.  - DagangNews.com