KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia mencatatkan 5% peningkatan jualan kenderaan pada bulan Jun kepada 44,595 unit, berdasarkan data pendaftaran dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Ini adalah susulan tindakan kerajaan untuk melonggarkan kawalan pergerakan berbanding pelaksanaan PKP yang dikuatkuasa pada bulan Mac lalu.
Memetik laporan justauto.com, pendaftaran kenderaan baharu pada Jun pula melonjak sebanyak 92% berbanding bulan lalu didorong oleh ekonomi domestik yang kembali normal.
Kerajaan juga mengambil langkah untuk memansuhkan cukai jualan kenderaan bermula Jun hingga hujung tahun ini untuk meningkatkan kadar jualan, sekali gus menyaksikan pengurangan yang banyak pada harga kenderaan.
Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac sehingga pertengahan Mei 2020 menyebabkan jualan kenderaan terjejas teruk dengan syarikat kenderaan tidak dapat meneruskan operasi syarikat.
“Sebelum krisis COVID-19 lagi, syarikat pengeluar telah berdepan keputusan segera Jabatan Kastam untuk menukar kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka bagi sektor kenderaan,” katanya seperti dipetik justauto.com.
Jumlah pendaftaran kenderaan baharu pada separuh pertama 2020 menyaksikan penurunan lebih 41% dengan 174,675 unit daripada 296,317 unit bagi tempoh sama, pada tahun 2019.
Tambah beliau, permintaan sektor itu juga masih lagi perlahan susulan ketidaktentuan ekonomi dan keyakinan pengguna yang lemah.
Bagaimanapun, Perodua berjaya mencatatkan angka jualan sebanyak 21,250 unit kenderaan pada Jun, meningkat tiga kali ganda berbanding Mei.
Jualan Proton pula melonjak sebanyak 26% dengan 9,623 unit terjual pada Jun, meningkat 69% berbanding Mei. - DagangNews.com