Jualan kenderaan Perodua naik 102% kepada 14,160 unit | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan Perodua naik 102% kepada 14,160 unit

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Jualan kenderaan keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bagi bulan September meningkat sebanyak 102% kepada 14,160 berbanding 6,988 unit pada Ogos 2021.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, angka jualan itu juga adalah peningkatan untuk tiga bulan berturut-turut apabila situasi bekalan telah beransur-ansur pulih.

 

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2021, Perodua merekodkan jumlah jualan sebanyak 119,093 unit berbanding 145,012 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Rangkaian bekalan automotif menunjukkan peningkatan tetapi masih belum mencapai potensi yang sepenuhnya. Kami akan terus berusaha bersama pembekal dan pengedar bagi meningkatkan keselamatan serta produktiviti.

 

"Pertumbuhan secara beransur-ansur dalam pengeluaran dan jualan disertakan dengan langkah pengawasan kualiti yang ketat di dalam operasi PERODUA adalah untuk memastikan kepuasan pelanggan. Kumpulan kini sedang dalam proses meningkatkan pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Bagaimanapun beliau berkata, bagi perbandingan suku ke suku, jumlah jualan merosot sebanyak 44.6% kepada 21,803 unit pada suku ketiga berbanding 39,381 unit pada suku kedua 2021.

 

Ujarnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 1 Jun lalu dan berakhir secara berperingkat mulai 16 Ogos 2021 antara faktor utama penurunan jumlah jualan.

 

"Suku keempat 2021 memberikan unjuran yang lebih baik berbanding dua suku sebelumnya, terutama sekali peningkatan ketara dalam pengurangan kes COVID-19 di seluruh negara serta kadar vaksinasi yang menghampiri 90 peratus populasi dewasa Malaysia," katanya.

 

Dalam pada itu pihaknya turut memohon maaf di atas kelewatan penghantaran kenderaan pelanggan.

 

"Kami ingin mohon maaf di atas kesukaran yang dihadapi disebabkan oleh kelewatan penghantaran dan kami akan membantu para pelanggan kami dengan sebaiknya untuk memastikan kenderaan Perodua mereka dihantar secepat mungkin," katanya. -DagangNews.com