Jualan kereta naik 33% pada bulan Mac 2021 | DagangNews Skip to main content

Jualan kereta naik 33% pada bulan Mac 2021

KUALA LUMPUR 17 April - Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 33% kepada 63,878 unit pada bulan Mac tahun ini berbanding 21,242 unit pada bulan yang sama tahun lepas.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, beberapa syarikat kereta bergegas untuk membuat penghantaran pada bulan lepas berikutan tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2021, di samping membuat persediaan untuk pelancaran model baharu.

 

MAA berkata jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 56,478 unit pada Mac 2021 berbanding 18,974 pada Mac 2020 dan jualan kenderaan komersial turut naik kepada 7,400 unit pada bulan berkenaan berbanding 2,268 unit sebelum itu.

 

Persatuan itu mengaitkan  jumlah keseluruhan industri  sektor  automotif Malaysia yang rendah  pada tahun lepas adalah disebabkan pengkuatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Berdasarkan bulan ke bulan, jumlah jualan bagi Mac 2021 adalah 49% lebih tinggi berbanding Februari 2021, katanya.

 

Daripada segi jumlah pengeluaran, MAA berkata sebanyak 62,221 kenderaan dihasilkan pada Mac 2021 berbanding 22,657 unit bagi bulan yang sama tahun lepas.

 

Ia menyatakan pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 58,102 unit pada bulan Mac 2021 berbanding 21,087 pada bulan Mac 2020, sementara pengeluaran kenderaan komersial juga meningkat kepada 4,119 unit daripada 1,570 unit sebelumnya.

 

Mengenai prospek April 2021, MAA menjangkakan jumlah jualan terus bertahan seperti bulan Mac berikutan kempen agresif yang dijalankan secara berterusan oleh syarikat-syarikat kereta. - DagangNews.com