KUALA LUMPUR 3 Mac - Jualan produk Power Root Berhad mencatatkan peningkatan 20% kepada hasil keseluruhan jualan walaupun kumpulan itu mencatatkan tiga kenaikan harga sebelum ini.
Kenanga Research berkata, kumpulan itu sebelum ini menaikkan harga produk mereka sejak tahun lalu bermula Januari dan Oktober 2022 dan kali terakhir pada 2023.
Firma itu berkata, ketika pencabar utamanya akan menaikkan harga jualan mereka sekali lagi, kumpulan itu kekal dengan harga mereka dan pada masa sama meluaskan pegangan pasaran.
"Buat masa sekarang, produk Power Root masih lagi murah 10% berbanding pesaingnya.
"Masih terdapat banyak ruang untuk kumpulan itu menaikkan harga di negara-negara dibawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kerana produknya ada 20% hingga 25% lebih murah daripada peneraju pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pendapatan kumpulan dilihat stabil selepas ia berjaya mengunci harga biji kopinya sehingga Disember 2023manakala harga krimer telah menyusut sekurang-kurangnya 18% sejak November 2022.
Katanya, bagaimanapun kenaikan harga gula sekurang-kurangnya 13% sejak November 2022 menyaksikan kumpulan itu telah menaikkan harga produknya.
Firma itu berkata, pasaran Asia Barat semakin pulih dengan negara-negara GCC kembali mencatatkan jualan hampir 90% ke paras sebelum COVID-19 manakala negara bukan GCC berada pada paras 75%.
"Eksport terbesarnya ke Arab Saudi terhenti seketika akibat masalah pengedaran sejak Disember 2022 tetapi dijangka pulih pada Mei 2023.
"Kesan kehilangan jualan sangat minimum kerana eksport ke Kuwait meningkat dua kali ganda untuk merapatkan jurang," katanya.
Firma itu megekalkan mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.70 sesaham. - DagangNews.com