KUALA LUMPUR 7 Mac - UMW Toyota Motor mencatatkan jualan sebanyak 9,233 unit Toyota serta 64 unit Lexus bagi Februari 2023 dan ia merupakan jualan tertinggi dari bulan ke bulan.
Kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan jualan bulanan yang mengagumkan untuk Februari 2023, dengan 9,297 unit (Toyota + Lexus) terjual, berbanding 6,786 unit (Toyota + Lexus) yang dijual pada Januari 2023.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 37% dalam jualan bulanan selain mereka turut mencatatkan peningkatan sebanyak 45% dalam jualan pada Februari 2023 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Sehingga kini, jualan untuk Februari 2023 bagi Toyota dan Lexus masing-masing adalah 16,004 unit dan 79 unit dan ia menunjukkan peningkatan stabil 15% (Toyota + Lexus) berbanding ke tempoh yang sama pada 2022.
Bagi melengkapakan prestasi jualan cemerlang itu, UMW Toyota Motor dan GAZOO Racing Malaysia melancarkan lima model GR dan GR Sport bulan lepas.
Rangkaian bertemakan 'Awaken the Beasts' terdiri daripada tiga varian GR dan dua GR Sport, termasuk GR Supra, GR Corolla, GR86, Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata, dengan menyesuaikan diri dengan keperluan pelanggan, mereka berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pemain berprestasi tinggi dalam industri automotif.
"Menerusi pengenalan model GR dan GR Sport baharu kami serta Toyota Vios serba baharu, kami teruja untuk terus menyediakan pelanggan kami kenderaan yang luar biasa yang melebihi jangkaan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com