Jumlah pinjaman diluluskan bagi pembelian hartanah menurun untuk lima bulan berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Jumlah pinjaman diluluskan bagi pembelian hartanah menurun untuk lima bulan berturut-turut

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah mencatatkan penurunan untuk lima bulan berturut-turut pada 2023.

 

MIDF Research berkata, angka pinjaman yang diluluskan jatuh ke paras terendah dalam setahun, susut sebanyak 18.2% dari bulan ke bulan pada Januari 2023 selepas penurunan kecil sebanyak 0.8% pada Disember 2022.

 

Katanya, aliran menurun dalam pinjaman yang diluluskan adalah sejajar dengan permohonan pinjaman yang lebih rendah.

 

"Kami melihat pemangkin terhad kepada sektor hartanah disebabkan oleh permohonan pinjaman hartanah yang lemah yang menandakan prospek jualan baharu yang mencabar.

 

"Bagaimanapun, pemberhentian seketika kenaikan dasar semalaman (OPR) seharusnya menyokong pemulihan minat belian.

 

"Kami melihat bahawa hartanah dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik akan terus menyaksikan minat belian yang berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman tidak terjual di Malaysia berkurangan pada 2022. Kediaman tidak terjual menyusut kepada 27,746 unit berbanding 36,863 unit pada 2021.

 

Katanya, kediaman tidak terjual meningkat kepada 36,863 unit pada 2021 daripada 29,565 unit pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

 

"Johor mempunyai unit kediaman tidak terjual tertinggi iaitu 6,089 diikuti Selangor (6,095 unit) dan Pulau Pinang (5,493 unit).

 

"Kemerosotan dalam kediaman tidak terjual adalah positif kepada sektor hartanah kerana ia mengurangkan kebimbangan situasi lebihan bekalan hartanah kediaman di Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu. - DagangNews.com