Junior Cho kini Ketua Zurich Malaysia | DagangNews Skip to main content

Junior Cho kini Ketua Zurich Malaysia

Junior Cho

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai – Zurich Malaysia melantik Junior Cho sebagai Ketua Negara baharu berkuat kuasa serta-merta. 

 

Beliau menggantikan Stephen Clark yang bersara baru-baru ini dan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasifik Zurich, Tulsi Naidu.

 

Dalam kenyataan hari ini, Zurich Malaysia berkata, Junior akan memimpin perniagaan-perniagaan Zurich di Malaysia, memastikan strategi dan penyediaan asas yang betul untuk meningkatkan pengalaman pelanggan serta mengembangkan perniagaan secara mapan. 

 

"Zurich Malaysia beroperasi menerusi 4 cabang perniagaan iaitu insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am. 

 

"Menjadi satu-satunya syarikat multinasional yang memegang kesemua empat lesen insurans dan takaful, Zurich Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian insurans dan takaful dibawah satu jenama yang
membolehkan pelanggan mendapatkan perlindungan komprehensif dan sesuai dengan keperluan mereka," katanya.

 

Menurutnya, Junior juga kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Berhad, jawatan yang dipegangnya sejak 15 Julai 2019 setelah bersama syarikat selama 3 tahun. 

 

Beliau pada mulanya menyertai Zurich sebagai Ketua Pengurusan Pasaran bagi insurans am dan takaful
am dan memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam sektor insurans dan perkhidmatan kewangan.

 

Sepanjang perkhidmatannya, Junior memainkan peranan penting dalam membina perniagaan segmen am Zurich Malaysia dengan pelaksanaan penawaran strategik, mengukuhkan saluran pengedaran berasaskan
perkongsian dan inisiatif pendigitalan untuk memenuhi keperluan ejen dan pelanggannya dengan lebih baik.

 

Junior merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Columbia di NeYork dan memulakan kerjaya bersama firma konsultasi global, Accenture di New York, sebelum menceburi industri insurans. - DagangNews.com