KAB, Petronas Gas bekerjasama memiliki dan mengusahakan loji janakuasa bernilai RM230 juta di Sabah | DagangNews Skip to main content

KAB, Petronas Gas bekerjasama memiliki dan mengusahakan loji janakuasa bernilai RM230 juta di Sabah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Kejuruteraan Asastera Berhad dan Petronas Gas Berhad (PGB) menjalinkan kerjasama untuk bersama-sama memiliki dan melaksanakan projek loji janakuasa bernilai RM230 juta di Sabah.

 

Menerusi kerjasama itu, mereka akan menjadi pembekal tenaga tunggal kepada kemudahan gas asli cecair Petronas.

 

KAB menerusi anak syarikatnya, KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. (KABEH) menandatangani perjanjian pembelian saham dengan PGB untuk memperoleh 10% kepentingan dalam anak syarikat PGB Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn. Bhd. (RGTLD), yang bertanggungjawab untuk memiliki dan menjalankan projek loji janakuasa. 

 

KABEH juga menandatangani perjanjian pemegang saham dengan PGB untuk mengambil alih peranan rakan kongsi teknikal dalam usaha sama itu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, memiliki dan melaksanakan projek tenaga bersih utama itu bersama rakan kongsi terkemuka seperti PGB menyerlahkan keupayaan mereka dalam ruang penyelesaian tenaga mampan. 

 

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada PGB atas kepercayaan mereka dalam merealisasikan perkara itu.

 

"Kami berharap dapat berkongsi kepakaran kami dengan PGB untuk menjayakan loji janakuasa ini dan menyumbang kepada matlamat tenaga negara.

 

"Ia juga akan berfungsi sebagai model pembangunan ketika kami meneruskan lebih banyak projek di Malaysia dan Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

RGTLD akan memiliki aset itu apabila semuanya siap pada suku pertama 2026. 

 

RGTLD akan memeterai perjanjian pembelian kuasa untuk membekalkan kuasa kepada kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai yang akan datang di Sipitang, Sabah sepanjang tempoh konsesi 20 tahun.

 

Sementara menunggu permulaan loji janakuasa, KAB akan mengiktiraf hasil daripada peranannya sebagai kontraktor EPCC mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya. - DagangNews.com