Kadar cukai perkhidmatan baharu tingkatkan hasil tetapi tidak terlalu bebankan M40 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kadar cukai perkhidmatan baharu tingkatkan hasil tetapi tidak terlalu bebankan M40 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Peningkatan cukai perkhidmatan kepada 8% daripada 6% adalah antara pendekatan kerajaan bagi meningkatkan hasil negara dan dijangka tidak terlalu membebankan rakyat khususnya golongan pertengahan (M40).

 

Kenanga Research berkata, kerajaan ketika ini lebih berhati-hati untuk tidak membebankan rakyat memandangkan kelembapan ekonomi kerana ia boleh mengekang perbelanjaan pengguna.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan peralihan cukai berperingkat dan subsidi bersasar akan disesuaikan berdasarkan keadaan ekonomi semasa," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan bahawa kadar cukai perkhidmatan (SST) akan dinaikkan kepada 8% berbanding 6% namun peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. 

 

Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

 

BACA JUGA: Kerajaan laksana Cukai Keuntungan Modal pada kadar 10%, SST 8% mulai 1 Mac 2024

 

Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan menjangkakan eksport kasar akan kembali meningkat semula sebanyak 5.1% berdasarkan perkembangan menyeluruh yang dipacu oleh pemulihan dalam prospek perdagangan global, prospek sektor komoditi yang bertambah baik dan pengesahan perjanjian perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

Eksport barangan perkilangan diunjurkan meningkat semula sebanyak 5.5%, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk produk E&E dan bukan E&E. 

 

"Import kasar dijangka pulih sebanyak 4.9% (2023F: -6.8%), disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk barangan perantara, modal dan penggunaan," katanya. - DagangNews.com