Kadar inflasi berisiko naik mendadak kesan pengurangan subsidi dalam Belanjawan 2023 - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi berisiko naik mendadak kesan pengurangan subsidi dalam Belanjawan 2023 - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR 6 Mac - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat langkah kerajaan mengurangkan jumlah subsidi kepada RM64 bilion dalam Belanjawan 2023 bakal menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak tahun ini.

 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, walaupun proses pemulihan ekonomi menunjukkan momentum yang positif tetapi kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dalam bentuk subsidi dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

 

"Subsidi merupakan bantuan kewangan, bukannya satu bentuk insentif kerajaan.

 

"Adakah kerajaan telah pun menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan (subsidi) ini?" katanya dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

 

Beliau mengkritik keputusan kerajaan untuk mengurangkan peruntukan subsidi daripada RM80 bilion tahun lepas kepada RM64 bilion tahun ini dan melarang pengeluaran bersasar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Muhyiddin menegaskan subsidi kerajaan wajar memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sementara golongan yang berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

 

"Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar.

 

"Iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar, namun saya lihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya," katanya.

 

Mengenai KWSP, Muhyiddin berkata, rancangan kerajaan untuk memberi 'menambah' RM500 sekali sahaja kepada ahli berumur 40 hingga 54 tahun dengan simpanan di bawah RM10,000 hanya akan menguntungkan sebilangan kecil pencarum dan sebahagian besar lebih berhasrat membuat pengeluaran selanjutnya. 

 

Sementara itu, beliau mencadangkan, kerajaan supaya menyalurkan peruntukan segera sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang yang kawasan mereka dilanda banjir.

 

Beliau berkata, peruntukan terbabit bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen masing-masing.

 

Pada masa sama, beliau mencadangkan kerajaan untuk menaikkan peruntukan bantuan kepada negeri Johor yang teruk dilanda banjir kepada RM100 juta berbanding RM50 juta sebelum ini. - DagangNews.com