Kadar pengangguran 2021 diunjur 4.5% - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran 2021 diunjur 4.5% - Maybank IB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kadar pengangguran tahun ini dijangka kekal berada pada paras 4.5%, menurut Maybank IB Research dalam nota kajian. 

 

Bagaimanapun, unjuran itu lebih tinggi berbanding unjuran rasmi, 3.5% dan konsensus, 4.1% bagi tahun ini. 

 

Menurut firma itu, kadar pengangguran terus meningkat sejak Oktober 2020 disebabkan impak perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) 2.0 antara pertengahan Oktober dan awal Disember 2020. 

 

Malah, ia semakin meningkat pada Januari 2021 kepada 4.9% berbanding 4.8% pada Disember 2020 apabila PKP 2.0 dilaksanakan sekali lagi pada 13 Januari.

 

"Kadar pengangguran yang tinggi ini mencerminkan pembuangan pekerja yang tinggi dan juga pengangguran dalam kalangan belia serta penurunan dalam kalangan pekerja pada Januari 2021," katanya.  

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penganggur meningkat 1.3% atau 9,700 orang pada Januari kepada 782,500 orang berbanding bulan sebelumnya sebanyak 772,900 orang.

 

Dari tahun ke tahun, bilangan penganggur meningkat sebanyak 270,900 orang berbanding 511,700 orang yang direkodkan pada Januari 2020. Begitu juga, kadar pengangguran meningkat 1.7 mata peratus daripada 3.2%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan. 

 

Ini membabitkan industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan dan aktiviti rekreasi. 

 

Maybank IB berkata, disebabkan impak PKP 2.0, pasaran pekerjaan pada bulan tersebut menyaksikan 8,331 orang dibuang kerja berbanding 6,805 pada Disember 2020. 

 

"Bagaimanapun, pembuangan pekerja pada Februari 2021 berkurangan kepada 6,293 orang yang mungkin disebabkan kesan daripada cuti Tahun Baharu Cina," katanya. 

 

Pengangguran belia juga meningkat kepada 13.5% berbanding 13.2% pada Disember 2020, kekal melebihi 13% sejak Mei 2020. 

 

Pada masa sama, pekerja yang merujuk kepada gaji harian di pasar tani, pasar malam dan gerai serta separuh masa menurun buat bulan keempat berturut-turut kepada 2.39 juta pada Januari 2021 berbanding 2.4 juta pada bulan sebelumnya. 

 

"Ketika permulaan PKP 2.0, golongan pekerja ini terutama yang mengendalikan pasar tani, pasar malam dan gerai paling terjejas teruk disebabkan waktu operasi yang terhad sebelum kerajaan melonggarkan sekatan," tambahnya. 

 

Firma penyelidikan ini juga mendapati golongan pekerja yang dikategorikan sebagai 'tidak bekerja buat sementara waktu' meningkat kepada 158,900 orang pada bulan tersebut berbanding 146,200 orang pada Disember 2020. 

 

"Namun, kesan PKP 2.0 ke atas mereka tidaklah seteruk ketika PKP 1.0 memandangkan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berbanding tahun lalu yang lebih ketat," katanya. - DagangNews.com