Kadar pengangguran di Selangor lebih rendah berbanding purata nasional didorong kekuatan aktiviti pembinaan | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran di Selangor lebih rendah berbanding purata nasional didorong kekuatan aktiviti pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Kadar pengangguran di Selangor adalah lebih rendah berbanding kadar purata nasional sejak 2015 didorong kekuatan adalam aktiviti pembinaan.

 

MIDF Research berkata, ekonomi negeri itu kekal mampan kerana kepelbagaian sektor ekonomi dan pendedahan minimum kepada turun naik harga minyak sawit mentah (MSM).

 

"Negeri ini mendapat manfaat daripada aktiviti pembinaan dan peningkatan populasi mengukuhkan sektor perkhidmatan, mengekalkan peluang pekerjaan yang tinggi.

 

"Peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi domestik, aliran perdagangan luar yang berkembang dan pelancongan yang bertambah baik diramalkan akan memacu pekerjaan dan menurunkan kadar pengangguran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, lebih separuh daripada tenaga kerja negeri adalah dalam sektor perkhidmatan yang antara lain bekerja dalam aktiviti perdagangan, pengedaran dan makanan & minuman.

 

Katanya, Selangor menguasai sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pekerjaan perlombongan terbesar di Malaysia selain menduduki tempat ketiga dalam pertanian.

 

"Bermula 2023, kami percaya pertumbuhan pekerjaan yang lebih baik di negeri ini terutamanya dengan perkembangan sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

 

"Pembinaan jajaran kereta api, jalan raya, bangunan kediaman dan bukan kediaman akan membuka lebih pekerjaan dalam sektor ini.

 

"Kami percaya pembukaan semula China dan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menyokong aktiviti perdagangan luar dan mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini," katanya. - DagangNews.com