KUALA LUMPUR 10 Sept - MIDF Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran berada pada paras 3.5% bagi tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pasaran tenaga kerja di Malaysia dijangka terus kukuh pada 2023 dan 2024, disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik.
Katanya, kadar purata pengangguran di negara ini dijangka menurun lagi kepada 3.5% pada 2023 dan kembali ke tahap pra pandemik pada kadar 3.3% pada 2024.
"Kehadiran semula pekerja bukan warganegara dijangka meningkatkan pekerjaan keseluruhan dan mengurangkan kadar pengangguran.
"Sehingga suku kedua tahun ini, pekerjaan bukan warganegara hampir 2.7% lebih rendah daripada tahap pra pandemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Kadar pengangguran menurun 3.4% kepada 577,300 orang pada Ogos 2023 - DOSM
Terdahulu, pasaran buruh kekal stabil pada Ogos 2023 dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.
Bilangan tenaga kerja pada Ogos 2023 bertambah baik, dengan peningkatan 0.1% bulan ke bulan kepada 16.93 juta berbanding 16.91 orang pada Julai 2023.
Kadar penyertaan tenaga kerja Ogos kekal pada 70.1% seperti pada Julai 2023.
MIDF Research berkata, bagi tempoh lapan bulan 2023, jumlah guna tenaga meningkat 2.5% dari tahun ke tahun (2022:+3.5%) manakala pengangguran berkurangan sebanyak 9.8% dan kadar pengangguran purata pada 3.5% (2022: 3.8%).
Penambahbaikan berterusan dalam pasaran tenaga kerja akan menyokong perbelanjaan pengguna kerana nisbah penerima gaji kepada pekerjaan telah mencapai kemuncak baharu pada 64.6% pada 2022, antara lain berkat dasar gaji minimum. - DagangNews.com