Kadar pengangguran diunjur pada paras 3.8% bagi 2022 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran diunjur pada paras 3.8% bagi 2022 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Kadar pengangguran Malaysia diunjur berada pada paras 3.8% untuk 2022.

 

MIDF Research berkata, pasaran buruh di Malaysia dijangka terus kukuh dalam 2HCY22 disokong oleh momentum yang memberangsangkan dalam ekonomi domestik dan pengembangan yang stabil dalam sektor luar.

 

"Didorong oleh pembukaan semula domestik dan asas ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran Malaysia diunjurkan menurun pada tahun ini kepada 3.8% pada 2022 daripada 4.6% pada 2021.

 

"Bagaimanapun, unjuran kadar pengangguran masih tinggi berbanding 3.4% sebelum pandemik.

 

"Pertumbuhan guna tenaga diunjurkan pada +2.5% (2021: +2.0%) manakala pengangguran menyusut sebanyak -15.0% tahun ini (2021: +3.0%) dan sehingga 7MCY22, kadar purata pengangguran pada 4.0% manakala pertumbuhan guna tenaga pada +3.5% selain pengangguran turun sebanyak 14.4%," katanya dalam satu dalam satu nota kajian hari ini.

 

BACA JUGA: Kadar pengangguran Julai 2022 menurun kepada 3.7% dengan 620,700 orang - Mustapa

 

Terdahulu, pasaran buruh Malaysia bertambah kukuh pada bulan Julai dengan kadarpengangguran mencatat 3.7%, iaitu menghampiri paras pra pandemik berdasarkan penerbitan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, pada Julai 2022. 

 

Pencapaian itu adalah jauh lebih baik berbanding dengan 4.5% yang dicatatkan pada tahun 2021 dan 4.2% pada Januari 2022. 

 

Firma itu berkata, jumlah kekosongan jawatan melonjak paras tertinggi baharu iaitu 508,000 dan mencerminkan pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik didorong oleh permintaan yang kukuh serta pengembangan berterusan dalam sektor luar.

 

Katanya, pekerjaan berkemahiran tinggi seperti Penggubal Undang-undang dan sebagainya termasuk Profesional serta Profesional bersekutu juga mencatatkan pengambilan lebih tinggi dengan sektor perkhidmatan meningkat kepada 45.8%, tertinggi dalam enam bulan.

 

"Sektor pembinaan mencatatkan 15.4% menghampiri nilai tertinggi dalam tempoh tiga tahun manakala segmen pembuatan mencatatkan 31.7%.

 

"Kestabilan itu mencerminkan kesan peningkatan ekonomi domestik termasuk pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya. - DagangNews.com