Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kadar pengangguran negara pada 2019 yang kekal 3.3% berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Melaka adalah negari yang merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.1%.
"Kedudukan tersebut diikuti dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.2%), Pulau Pinang (2.0%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.6%) dan Johor (2.7%).
"Penurunan kadar pengangguran itu direkodkan oleh lapan negeri iaitu Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Putrajaya,"jelasnya dalam sidang akhbar statistik kali ke-25 menerusi Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 yang dijalankan secara dalam talian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 merupakan penerbitan yang eksklusif dan komprehensif dengan mengintegrasikan data ekonomi, sosial serta demografi.
Laporan yang dibentangkan itu juga mengandungi lima bahagian utama termasuk prestasi ekonomi negeri, sosial dan demografi, statistik pelancongan domestik dan statistik akaun kerajaan.
Sementara itu, beliau turut membentangkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang meningkat sebanyak 0.4% kepada 68.7% berbanding 68.3% pada tahun 2018.
Kadar tersebut menyaksikan bilangan tenaga buruh di Malaysia meningkat sebanyak 2.0% kepada hampir 15.6 juta orang pada 2019 berbanding 15.3 juta orang pada tahun sebelumnya.
"Di peringkat negeri, peningkatan KPTB itu dicatatkan oleh lapan buah negeri. Antaranya ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Sarawak dan Melaka.
"KPTB tertinggi berjaya direkodkan oleh Selangor pada kadar 76.0%, diikuti Johor (70.03%), Sabah (70.0%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (70.0%) dan Sarawak (68.4%)," jelasnya lagi. - DagangNews.com