Kadar pengeluaran tidak stabil, CGS International naikkan unjuran harga minyak sawit mentah kepada RM4,000 setiap tan pada 2024 dan 2025 | DagangNews Skip to main content

Kadar pengeluaran tidak stabil, CGS International naikkan unjuran harga minyak sawit mentah kepada RM4,000 setiap tan pada 2024 dan 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - CGS International menaikkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) kepada RM4,000 bagi setiap tan pada 2024 dan 2025 didorong kadar pengeluaran yang tidak stabil.

 

Katanya, harga lantai untuk MSM telah dinaikkan dan ia dijangka terus meningkat pada masa hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pengeluaran yang tidak stabil dsebabkan Malaysia kehilangan kawasan penanaman, berkemungkinan disebabkan pembangunan hartanah dan penanaman durian selain pengembangan terhad di Indonesia serta pokok yang semakin tua di kedua-dua negara.

 

"Ketidaktentuan iklim juga meningkatkan ketidakpastian kadar pengeluaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, keuntungan bersih yang tidak memberangsangkan pada suku pertama 2024 sebahagian besarnya terkesan oleh pengeluaran MSM yang lebih rendah dari suku tahun ke suku tahun tetapi pendapatan sektor perladangan dijangka meningkat bermula suku kedua tahun ini.

 

Katanya, ia berkemungkinan besar didorong oleh harga MSM yang stabil, pertumbuhan pengeluaran yang lebih tinggi, terutamanya bagi pemain industri huluan Malaysia dan pengurangan kos pengeluaran.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat syarikat yang mempunyai operasi hiliran yang ketara mungkin mengalami margin yang lebih rendah berbanding syarikat huluan berikutan persaingan yang semakin sengit dalam sektor hiliran.

 

"Sementara itu, pemain industri huluan harus mendapat manfaat daripada persaingan yang semakin sengit dalam kalangan penapis di Indonesia, di samping harga MSM yang lebih tinggi dan lebih stabil," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan Ta Ann Holdings Bhd, Sarawak Plantation Bhd, Hap Seng Plantations Holdings Bhd sebagai pilihan utama.

 

Katanya SD Guthrie Bhd dan Genting Plantations Bhd juga memberikan tawaran menarik dengan kepelbagaian perniagaan masing-masing dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan sektor hartanah. - DagangNews.com