KUALA LUMPUR 24 Julai - Kadar penghunian yang stabil bagi portfolio hartanah dilihat akan terus memberikan hasil positif kepada Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) pada separuh kedua tahun ini.
MIDF Research berkata, jumlah hartanah kumpulan itu berkembang kepada 67 berbanding 62 pada tahun sebelumnya dengan kadar penghunian sekitar 89%.
Katanya, permulaan pajakan bagi hartanah yang baru diambil alih, serta pembinaan Pusat Pengedaran Mega Axis (AMDC) Fasa 2 yang telah siap pada Mac telah meacu hasil menjadi lebih tinggi sebanyak 12%.
"Bilangan hartanah telah meningkat kepada 67 berikutan penyiapan tiga pemerolehan yang dicadangkan sebelum ini pada Julai bernilai RM173 juta.
"Axis REIT berjaya melengkapkan tiga pemerolehan aset pada Julai 2024 dan ia seharunya menyokong pertumbuhan pendapatan pada 2HFY24.
"Pengurusan juga memberi panduan bahawa penghunian portfolionya perlu meningkat kepada 94% sebaik sahaja pelupusan Pusat Keluli Axis bernilai RM162 juta selesai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Axis REIT catat pendapatan amanah bersih RM39 juta pada 2QFY24, isytihar agihan dividen 2.25 sen seunit
Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan ramalan pendapatan untuk kumpulan itu bagi FY24, FY25 dan FY26.
Mereka melihat prospek pendapatan yang stabil untuk Axis REIT bagi jangka sederhana dan panjang kerana prestasi aset perindustrian di Malaysia dijangka kekal berdaya tahan di sebalik permintaan yang stabil untuk ruang industri di Malaysia.
Selain itu, katanya, Axis REIT mengembangkan asetnya di bawah pengurusan melalui pengambilalihan yang sepatutnya terus menyokong pendapatan dan pertumbuhan dividen.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com