Kadar tempahan pembinaan WCT menghampiri paras terendah dalam sedekad, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Kadar tempahan pembinaan WCT menghampiri paras terendah dalam sedekad, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kadar tempahan bagi segmen pembinaan WCT Holdings Berhad sebanyak RM3.5 bilion adalah menghampiri paras terendah dalam sedekad iaitu RM3.1 bilion yang dicatatkan pada 2014.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, dengan 42% akan dilaksanakan tahun ini, kumpulan itu menetapkan sasaran kejayaan kontrak sebanyak RM3 bilion pada tahun kewangan 2023 daripada senarai tender RM9 bilion.

 

Kumpulan itu sebelum ini menamatkan FY22 dengan tangan kosong daripada sasaran awalnya sebanyak RM1 bilion.

 

"Terdapat peningkatan keperluan mendesak untuk menambah semula projek baharu pada FY23 dengan projek bernilai kira-kira RM1.5 bilion dijangka siap tahun ini.

 

"Sasaran kemenangan kontrak kumpulan itu pada FY23 adalah RM3 bilion berdasarkan kadar kemenangan 30% daripada RM9 bilion daripada terndernya.

 

"Antara projek yang terlibat termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tebatan banjir, Transit Aliran Massa (MRT 3), Pan Borneo Sabah, jalan pantai di Sarawak dan projek bangunan infra/khas di Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Firma itu berkata, projek pembesaran Lapangan Terbang Subang tidak berada dalam senarai tender kumpulan itu.

 

“Sebagai pemegang konsesi pada waktu ini, kumpulan itu sedang mengusahakan cadangan untuk dibentangkan kepada kerajaan tidak lama lagi.

 

"Kami menganggarkan peluang melebihi RM1 bilion, mungkin melibatkan bayaran balik konsesi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 48 sen sesaham. - DagangNews.com