NEW YORK 10 Mei - Cryptocurrency atau mata wang kripto semakin mendapat perhatian masyarakat pelabur, dan bagi yang belum menceburinya, pasti masih mengira apakah sesuai masanya sekarang untuk menyertai pelaburan kripto ini.
Menurut Katie Brockman di dalam tulisannya yang disiarkan di The Motley Fool, memang benar beberapa mata wang kripto seperti Bitcoin telah mencatatkan pulangan luar biasa dalam tempoh beberapa bulan ini, tetapi ia tidak semestinya boleh dianggap sebagai `pelaburan selamat’.
Hakikatnya, mata wang kripto pada detik dan saat ini adalah bersifat sangat spekulatif, dan tiada siapa tahu apakah ia akan kekal lama atau untuk berapa lama. Walaupun ia berupaya merubah dunia, pelaburan kripto ini juga boleh mengakibatkan kerugian dan kehancuran. Semua penganalisis industri bersependapat, masih terlalu awal untuk meramal masa hadapan kripto ini.
Malah, kripto terkenal kerana sifat mudah meruap, turun naik yang boleh berlaku dalam satu jam! Bitcoin telah mencatat kerugian kira-kira 80% nilainya pada satu titik, dan sejak permulaan awal tahun ini, Bitcoin mengalami turun naik ala roller coaster. Tidak semua pelabur ada kesanggupan meredah rebut taufan sedemikian.
Bagaimanapun, jika anda berminat untuk melabur di dalam mata wang kripto tetapi mahu mengehadkan risiko, ada satu kaedah lain untuk anda cuba…iaitu saham kripto.
Mata wang kripto vs. saham kripto
Bila kebanyakan orang memikirkan perihal pelaburan mata wang kripto, pada fikiran mereka ialah melabur secara langsung di dalam mata wang it uterus. Namun, anda masih boleh melabur di dalam kripto tanpa perlu melabur ke atas kripto!
Saham kripto adalah sebuah syarikat yang terlibat di dalam mata wang kripto dalam salah satu kaedah sama ada menggunakan kripto sebagai satu bentuk pembayaran, atau mungkin syarikat itu melabur di dalam kripto atau terlibat membangunkan teknologi yang menjana mata wang digital.
Tesla, misalnya. Ia adalah sebuah syarikat pengeluar kereta elektrik. Baru-baru ini, pemiliknya Elon Musk mengumumkan Tesla melabur sebanyak AS$1.5 bilion di dalam Bitcoin dan juga menerima Bitcoin sebagai satu bentuk pembayaran.
NVIDIA pula adalah contoh saham kripto. Syarikat teknologi ini mereka bentuk dan membangunkan unit pemprosesan grafik (GPU), yang lazimnya diguna bagi mencipta mata wang kripto.
Jika anda melabur di dalam Tesla atau NVIDIA, tidak bermakna anda melabur di dalam mata wang kripto secara langsung. Namun, jika kripto diterima sebagai wang perdana dan diguna pakai sebagai satu bentuk mata wang, syarikat-syarikat ini akan menerima manfaat daripadanya. Urutan ceritanya, tentulah nilai pelaburan anda akan meningkat.
Saham kripto secara umumnya disifatkan `selamat’ berbanding melabur secara terus ke atas mata wang kripto. Ini kerana kripto hanyalah sebahagian daripada perniagaan syarikat-syarikat tersebut. Jika mata wang digital tidak dapat bertahan lama, syarikat-syarikat berkenaan tidak mungkin jatuh bankrap bersamanya.
Haruskah anda melabur di dalam saham kripto?
Meskipun saham-saham kripto berkemungkinan kurang berisiko berbanding melabur di dalam mata wang itu terus, masih wujud beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
- Teliti syarikat itu secara menyeluruh sama ada ia akan memberi nilai pelaburan yang teguh. Dalam erti kata lain, jangan melabur di dalam sesuatu saham hanya semata-mata faktor mata wang kripto. Pelaburan terbaik adalah syarikat-syarikat yang memiliki fundamental teguh dan berkemungkinan besar kekal utuh untuk tempoh jangka panjang. Seandainya mereka kebetulan ada melabur di dalam kripto, ia merupakan bonus tambahan.
- Pastikan anda memiliki portfolio yang aa kepelbagaian meluas jika anda memutuskan untuk melabur di dalam saham kripto. Membina portfolio yang pelbagai adalah Langkah ijak tanpa mengira di mana anda memutuskan untuk akhirnya melabur, tetapi ia akan membantu mengehadkan lagi risiko anda seandainya saham kripto anda tidak cemerlang.
Brockman berkata, melabur di dalam saham kripto boleh menjadi satu kaedah pintar bagi mempelbagai pelaburan mata wang kripto, dan pada masa yang sama, mengurangkan risiko kerugian. “Dengan melabur bagi jangka masa panjang, anda berkemungkinan meraih kejayaan dengan saham-saham kripto,” kata beliau. – DagangNews.com