BOTA 9 Sept - Kerja menenun songket membabitkan proses rumit dan memerlukan minat, kepakaran selain kesabaran yang tinggi.
Penghasilan songket bermula dari segulung benang ditenun menjadi kain bercorak yang memerlukan penenun fokus bagi memastikan corak yang dihasilkan menarik dan berkualiti.
Minat yang mendalam pada seni warisan tersebut menyaksikan Faridatul Azna Shoib, 52, kekal menjadi satu-satunya penenun songket tradisional di daerah Perak Tengah.
Dia yang mengusahakan syarikat Azna Tenunan Songket di rumahnya di Kampung Masjid Lama, Bota Kanan, bagaimana pun tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
Antara pelanggannya termasuklah Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah serta orang-orang kenamaan lain.
Dengan hanya menggunakan dua alat tenunan songket, Faridatul Azna Shoib, 52, berjaya menghasilkan pelbagai corak yang menarik.
Mula menceburi bidang tenunan songket pada tahun 1993 apabila dia mula mempelajari kemahiran itu di Alor Setar, Kedah.
Kata Faridatul Azna, disebabkan minat yang mendalam, dia kemudian menyambung pengajian di Seberang Takir, Terengganu selama setahun.
"Selepas tamat belajar, saya bekerja di sebuah perusahaan menghasilkan songket selama empat tahun untuk menimba pengalaman.
"Pada tahun 2000 saya mula menghasilkan songket di rumah dan kini mempunyai dua alat tenunan songket yang ditempah dari Terengganu.
"Produk lain yang dihasilkan termasuklah kain sampin, sarung kotak tisu, sarung tepak sirih dan pemegang rantai kunci," ujarnya semasa ditemui baru-baru ini.
Tempahan songket ketika ini bermula hari ratusan hingga ribuan ringgit berdasarkan corak dan bunga yang dihasilkan serta dimahukan pelanggan.
Antara corak songket yang dihasilkan seperti bunga penuh, bunga tabur, corak jalur (corak berdiri, melintang dan tepi kain), corak siku keluang, tapak catur dan pucuk rebung.
"Pelanggan boleh memilih corak dan warna pilihan sebelum saya membeli benang dari Terengganu. Saya juga boleh mengolah atau buat tambahan pada tempahan.
"Harga songket memang mahal kerana ia merupakan kerja tangan eksklusif, mempunyai nilai-nilai seni yang tinggi dan boleh dibezakan melalui corak dihasilkan," ujarnya.
Faridatul berharap ada generasi muda yang berminat untuk mempelajari pembuatan songket agar seni warisan itu tidak pupus. - DagangNews.com