Abaikan sahaja nombor telefon tidak dikenali, terus waspada jenayah penipuan - Persatuan bank | DagangNews Skip to main content

Abaikan sahaja nombor telefon tidak dikenali, terus waspada jenayah penipuan - Persatuan bank

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menggesa para pelanggan supaya terus berwaspada terhadap jenayah penipuan termasuk mengabaikan sahaja panggilan telefon atau mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali.

 

Menerusi satu kenyataan bersama Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), para pelanggan juga digesa tidak berkongsi nama pengguna dan kata laluan perbankan mereka dengan sesiapa sahaja, termasuk rakan dan ahli keluarga.

 

ABM juga memberi amaran bahawa penjenayah biasanya menggunakan taktik 'kejuruteraan sosial' untuk memanipulasi pengguna supaya mengklik pautan yang berniat jahat atau mendedahkan maklumat sulit, seperti bukti kelayakan perbankan dalam talian.

 

Kedua-dua persatuan bank itu turut menasihati pelanggan supaya melindungi diri mereka dengan mengelakkan hiperpautan dengan tidak memuat turun sebarang aplikasi daripada pautan, terutamanya pada aplikasi pemesejan seperti Telegram dan WhatsApp.

 

"Muat turun hanya aplikasi daripada aplikasi rasmi seperti Apple App Store dan Google Playstore," kata kenyataan itu.

 

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan tinjauan oleh ABM dan AIBIM pada Mac 2024, bertajuk "Pendapat Awam tentang Tinjauan Penipuan" yang menunjukkan peningkatan ketara kesedaran tentang penipuan dan cerapan yang menarik tentang sikap pelanggan terhadap kesedaran komunikasi mengenai penipuan bank.

 

Menurut kajain itu, seramai 72% responden berpendapat bahawa penipuan biasanya berlaku akibat mangsa secara tidak sengaja mendedahkan butiran perbankan peribadi mereka.

 

Dalam pada itu, ABM, AIBIM dan ahli-ahli bank mereka akan bekerjasama lebih rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kerajaan dan pengawal selia kewangan bagi mengingatkan para pelanggan supaya berwaspada semasa menjalankan transaksi kewangan.

 

Berkenaan tinjauan itu, ia menyatakan bahawa peningkatan kesedaran dan pemahaman tentang penipuan serta modus operandi penipu dalam kalangan pelanggan membawa kepada kejayaan tinggi dalam usaha mengelak penipuan.

 

"Lebih 50% responden menyatakan bahawa mereka berinteraksi dengan usaha komunikasi bank manakala 69 peratus responden berpendapat prestasi bank Malaysia dalam menyebarkan kesedaran berkesan, menandakan pelanggan lebih menghargai usaha komunikasi bank secara keseluruhan," kata kenyataan itu.

 

Sementara itu, aplikasi perbankan kekal sebagai komunikasi yang paling dipercayai oleh pelanggan dengan 68% responden meletakkan notifikasi tolak daripada aplikasi perbankan di tiga teratas pilihan mereka.

 

Responden juga ditanya tentang seberapa baik mereka mengingati mesej kesedaran penipuan daripada bank, dan 47% mengingatinya menerusi platform media sosial bank masing-masing.

 

Katanya, ini merupakan peningkatan 13% daripada hasil kaji selidik sebelumnya..- DagangNews.com