Kakitangan divaksin sepenuhnya, AirAsia sedia kembali terbang dengan selamat | DagangNews Skip to main content

Kakitangan divaksin sepenuhnya, AirAsia sedia kembali terbang dengan selamat

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - AirAsia Group bersedia untuk kembali terbang dengan kakitangan hadapan yang telah divaksin sepenuhnya serta langkah-langkah keselamatan tanpa sentuhan dan kebersihan yang tertinggi, sempena pembukaan perjalanan udara yang dijangka akan diumumkan dalam waktu terdekat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, persediaan itu dibuat dengan langkah-langkah keselamatan yang ketat serta mewajibkan semua kakitangan operasi dan barisan hadapan yang bertemu dengan para tetamu, seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya sebelum kembali bertugas.

 

“Kami bukan sahaja mementingkan keselamatan kakitangan kami (Allstars), malah protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat serta prosedur operasi standard yang mantap, akan menjadikan keseluruhan perjalanan para tetamu kami lebih terjamin apabila mereka kembali terbang bersama kami nanti. 

 

“Proses vaksinasi yang semakin rancak di semua pasaran utama kami menjadikan AirAsia lebih yakin untuk kembali terbang. 

 

"Kini lebih daripada 50% populasi dewasa di Malaysia telah divaksin sepenuhnya, dan dijangka sekurang-kurangnya 80% rakyat Malaysia akan divaksin sepenuhnya menjelang akhir tahun 2021. Kita juga melihat kemajuan yang sangat memberangsangkan di Singapura, Korea dan Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, lebih 50 negara di seluruh dunia telah mula membuka pintu kepada para pelancong yang telah divaksin. 

 

Selaras usaha mempercepatkan proses vaksinasi di Asean, pihaknya berharap negara-negara berkenaan akan melonggarkan sekatan perjalanan terhadap para pelancong yang telah divaksinasi untuk perjalanan domestik dan antarabangsa serta meneruskan rancangan gelembung perjalanan.

 

Dalam masa sama, beliau percaya bahawa kemelut pandemik semakin jels menuju ke penghujungnya dengan proses vaksinasi yang agresif di semua pasaran utama berserta ujian saringan yang semakin dipertingkat dan penyebaran maklumat yang lebih tepat.

 

Situasi berkenaan sekali gus memberi keyakinan kepada pihaknya untuk kembali terbang dalam tempoh beberapa minggu lagi.

 

AirAsia Group muncul sebagai salah sebuah syarikat penerbangan pertama di dunia yang menerima pengiktirafan tertinggi 7/7 daripada pakar-pakar penerbangan di Airlineratings.com berikutan langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang dilaksankannya sejak pandemik bermula.

 

Semua syarikat penerbangan dalam AirAsia Group juga telah mendapat pengiktirafan IOSA yang merupakan penanda aras global dalam standard keselamatan tertinggi sepanjang masa.

 

Selain itu, AirAsia telah memanfaatkan tempoh pandemik untuk mempertingkatkan prosedur dan inovasi yang lebih baik untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dan lebih bersih.

 

"Di sebalik semua ketidakpastian berikutan COVID-19, saya yakin kami akan kembali terbang dengan model perniagaan lebih luas dan berdaya maju yang tidak hanya bergantung pada tambang penerbangan sahaja kerana transformasi digital kami untuk menjadi super app pilihan Asean semakin menjadi kenyataan,” tambahnya lagi. - DagangNews.com