PEROLEHAN kapal terpakai boleh dipertimbangkan kerajaan sebagai langkah sementara sekiranya dirasakan perlu untuk mengatasi isu kekurangan aset yang dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Memandangkan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan, maka isu kekurangan aset perlu diberikan perhatian.
Jika pun TLDM bakal memperoleh tiga kapal misi pesisir (LMS) baharu, tempoh menunggu untuk disiapkan sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun.
Kapal terpakai yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun misalnya masih dikategorikan sebagai baik berdasarkan penilaian fizikal serta bentuk penugasan.
Sesebuah kapal perang atau bot peronda bagaimana pun perlu melalui proses menaik taraf atau selenggaraan penuh pada beberapa bahagian penting seperti sistem elektronik dan enjin sebelum dioperasikan.
Brunei dan Filipina sebagai contoh memilih kapal perang terpakai sebagai langkah segera untuk menambah kekuatan armada angkatan lautnya.
Tentera Laut Diraja Brunei bulan lalu menerima kapal peronda kelas Fearless bekas kepunyaan Tentera Laut Republik Singapura (RSN).
Ditauliahkan semula sebagai Kapal Diraja Brunei (KDB) As-Siddiq, ia merupakan kapal pertama daripada dua kapal peronda kelas berkenaan yang dipindahkan RSN kepada Brunei.
Majlis penyerahan dan pengambilalihan ini telah diadakan di Pangkalan Tentera Laut Changi pada 15 Mac sebelum kapal berkenaan kembali ke Pangkalan Tentera Laut Muara, Brunei.
Pemindahan dan pentauliahan KDB As-Siddiq (asalnya RSS Brave) menggariskan hubungan pertahanan yang kukuh antara kedua-dua negara.
Singapura telah melucutkan perkhidmatan dua kapalnya iaitu RSS Gallant dan RSS Brave pada Disember 2020 dan Ogos 2019.
Penyerahan RSS Gallant akan dilakukan dalam sedikit masa lagi yang akan dinamakan sebagai KDB Al-Faruq.
Dua kapal itu dipindahkan sebagai hadiah yang mana langkah ini dilihat sebagai simbol hubungan pertahanan erat antara dua negara Asia Tenggara terkecil itu.
RSN mempunyai 12 buah kapal peronda kelas Fearless yang ditauliahkan antara tahun 1996 dan 1998.
Kapal-kapal itu dibina oleh Singapore Shipbuilding and Engineering Limited (kini dikenali sebagai ST Engineering Marine).
Walaupun diklasifikasikan sebagai kapal peronda, namun kapal sepanjang 55 meter dengan berat 500 tan ini mempunyai sistem persenjataan yang baik seperti sistem peluru berpandu antipesawat Mistral dan torpedo EuroTorp A244/S.
Bagaimana pun, kesemua sistem persenjataan ini turut dilucutkan apabila kapal diserahkan kepada Brunei.
Dipercayai dua kapal ini akan dilengkapi dengan sistem persenjataan baharu meliputi meriam dan mesingan sesuai dengan tugasan.
Dengan penyertaan dua kapal ini, jumlah aset kapal perang utama negara itu bertambah kepada 10 buah bagi mengawal perairan Brunei.
Filipina
Filipina menjadikan kapal perang terpakai termasuk yang dihadiahkan negara sahabat sebagai antara usaha untuk menambahkan kekuatan.
Sebahagian besar daripada kira-kira 82 buah kapal perang dalam armada tentera laut negara itu merupakan kapal terpakai yang disumbangkan beberapa negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Filipina, sebuah negara kepulauan dengan salah satu garis pantai terpanjang di dunia berhadapan dengan dengan isu keselamatan maritim termasuk pencerobohan kapal China di Laut Filipina Barat.
Terbaru, ia bakal menerima dua kapal peronda pantai terpakai dari AS iaitu USS Monsoon dan USS Chinook.
USS Monsoon ditauliahkan pada tahun 1994 manakala USS Chinook pula setahun kemudian.
Dua kapal ini merupakan yang terakhir daripada 10 buah kapal kelas Cyclone yang direka untuk beroperasi di kawasan pesisir.
Pada tahun 2004, tentera laut Filipina menerima sebuah kapal kelas ini iaitu USS Cyclone yang ditauliahkan semula sebagai BRP Jeneral Mariano Alvarez.
Kapal itu dipindahkan melalui pakej bantuan ketenteraan AS bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan menentang keganasan dan keselamatan maritim Filipina.
Tiga tahun lalu, Korea Selatan menyerahkan kapal korvet ROKS Chungju berusia 30 tahun kepada Filipina yang kemudian dinamakan sebagai BRP Conrado Yap.
Korvet kelas Pohang sepanjang 88 meter dengan berat 1,220 tan ini masih dalam keadaan baik terutamanya untuk melaksanakan tugas rondaan.
Ia dipersenjatai dengan meriam kaliber 76 milimeter (mm) dan 40mm bersama dengan pelancar untuk peluru berpandu antikapal, torpedo dan pertahanan antikapal selam.
Sebuah lagi kapal korvet kelas sama iaitu ROKS Andong yang telah dilucutkan tauliah bakal diterima Filipina tahun ini.
Filipina pada masa sama bakal menerima dua buah korvet baharu menjelang dua tahun lagi setelah memeterai kontrak dengan firma Hyundai Heavy Industries.
Pendekatan negara jiran mendapatkan kapal perang terpakai mungkin mempunyai perspektif berbeza dengan polisi atau dasar perolehan aset yang ditetapkan TLDM.
Bagaimana pun, jika perolehan aset terpakai membolehkan TLDM melaksanakan tugas mengawasi perairan negara dengan cekap, mengapa tidak? - DagangNews.com