Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 tawar lebih 8,600 jawatan kosong | DagangNews Skip to main content

Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 tawar lebih 8,600 jawatan kosong

Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Mac. - Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawarkan lebih 8,600 jawatan kosong daripada 26 majikan.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, karnival yang turut mendapat kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu membuka tirai bermula hari ini dan esok.

 

"Inisiatif itu bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi berikutan pandemik COVID-19 serta dasar terkini kerajaan yang mahu sektor ini dikuasai semula oleh pekerja tempatan berbanding sebelum ini yang dimonopoli oleh tenaga kerja asing.

 

"Menyedari kekurangan tenaga kerja tempatan yang menceburi sektor perladangan, kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) turut memberi tumpuan terhadap usaha membangun dan memperkasakan pembangunan modal insan terutamanya bagi meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir

 

"Sektor ini amat memerlukan tenaga kerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing. Saya
dimaklumkan bahawa dalam sektor industri komoditi khasnya sektor komoditi sawit, dianggarkan sebanyak 75% diisi oleh tenaga kerja asing sebelum ini," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

 

Penganjuran karnival kerjaya yang pertama itu memfokuskan kepada beberapa sektor komoditi seperti sawit, getah, kayu kayan, kenaf, koko dan lada.

 

Seramai 3,000 peserta warga tempatan termasuk para para siswazah dan komuniti Orang Asli dijangka mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.

 

Bagi pencari kerja, pendaftaran untuk menyertai Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 boleh dilakukan menerusi pautan
https://careerfair.perkeso.gov.my.

 

Selain daripada sesi temuduga secara maya, program taklimat tentang PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar Peluang Kerjaya Di Sektor Agrikomoditi turut diadakan.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, semua pihak terutamanya golongan belia, graduan dan seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai karnival kerjaya tersebut.

 

"Ia bagi merebut peluang pekerjaan selain meneroka bidang baharu berikutan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 di sektor agrikomoditi," katanya lagi. - DagangNews.com