KUALA LUMPUR 9 Nov - Karyon Industries Berhad menerusi anak syarikatnya, Hsing Lung Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Premetal Stamping Ind Sdn. Bhd. bagi mengambil alih tanah perindustrian seluas 3,842 meter persegi berharga RM7.6 juta di Masai, Johor.
Pegambilalihan tanah itu merangkumi sebuah kilang satu tingkat bersama bangunan pejabat dua tingkat.
Cadangan pemerolehan itu akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman sebanyak RM3.6 juta dan pinjaman bank sebanyak RM4 juta.
"Selepas selesai cadangan pengambilalihan, kumpulan itu akan menggunakan hartanah tersebut bagi operasi pergudangan dan pembuatannya.
"Hartanah tersebut terletak di Taman Perindustrian Sri Plentong, bersebelahan dengan ibu pejabat sedia dan ia mudah diakses dari Lebuhraya Pasir Gudang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Lokasi strategik bagi hartanah itu akan memberikan kemudahan kepada operasi perniagaan kumpulan dan ia berkemungkinan meningkatkan nilai hartanah pada masa hadapan.
Cadangan pengambilalihan itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar kumpulan itu.
"Memandangkan pengambilalihan itu sebahagiannya akan dibiayai melalui peminjaman, aset bersih kumpulan dijangka berkurangan disebabkan perbelanjaan faedah yang akan ditanggung ke atas pinjaman dan penggearan kumpulan dijangka meningkat," katanya. - DagangNews.com