PASIR SALAK 3 Julai - Perkhidmatan kaunter pelbagai agensi yang dibuka pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini memudahkan pengunjung untuk mendapatkan perkhidmatan yang diinginkan.
Bagi golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mereka tidak dipinggirkan kerana boleh mengetahui bagaimana menceburi bidang keusahawanan menerusi MyVeteranlMall.
Pengurus Perhubungan Pelanggan MIDC Technology Sdn. Bhd., Norazah Mustapha berkata, MyVeteranMall adalah aplikasi platform digital sehenti yang mengakseskan veteran ATM pada pelbagai aplikasi.
"MyVeteranMall sama seperti platform perniagaan atas talian di mana veteran yang mempunyai produk atau perniagaan boleh mengiklankan di sini.
"Selain itu dengan mengakses platform ini mereka juga boleh membuat semakan seperti penyata pencen, data, wang tidak dituntut dan lain-lain hal kebajikan yang layak diterima veteran," ujarnya kepada DagangNews.com.
Plafrom ini juga berupaya memperluaskan jaringan dan rangkain perniagaan ahli veteran ATM ke peringkat global.
Warga Perak juga boleh mendapatkan maklumat tentang program perumahan, tabung keusahawanan dan tabung simpanan pendidikan di ruang pameran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Pembantu Tadbir Yayasan Perak, Azmeer Yeedzuan berkata, pengunjung Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia akan diberi penerangan tentang perkara berkaitan termasuk cara-cara memohon.
"Tabung Keusahawanan Yayasan Perak terbuka pada warga Perak dan pemastautin yang memiliki perniagaan walaupun secara kecil-kecilan dengan jumlah pinjaman sehingga RM20,000.
"Selepas memasuki fasa endemik, mereka yang ingin kembali berniaga atau baru mula berniaga boleh tampil untuk dibantu. Jadi, jangan segan -segan untuk datang ke sini," ujarnya.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula menyediakan kaunter aduan, tuntutan pengguna dan semakan harga secara atas talian.
Pembantu Penyelaras Program KPDNHEP Putrajaya, Anwar Jafri berkata, aplikasi MySales Tracker membolehkan pengguna membuat semakan tentang informasi jualan murah di premis berhampiran.
"Aplikasi ini memaparkan tentang program jualan murah dalam radius lokasi pengguna, tempoh dan senarai barang serta perbezaan harga," jelasnya. - DagangNews.com