Kaunter teknologi heret naik KLCI lebih 5 mata | DagangNews Skip to main content

Kaunter teknologi heret naik KLCI lebih 5 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Saham-saham teknologi di pasaran ekuiti tempatan berjaya melonjakkan indeks penanda aras di Bursa Malaysia untuk meneruskan momentum peningkatan. 

 

Ini didorong oleh lonjakan besar-besaran yang ditonjolkan Nasdaq 100 hari ini. 

 

Setakat 9.05 pagi, FBM KLCI menokok 5.61 mata kepada 1,630.39 daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,624.78. 

 

Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 403 kaunter untung, mengatasi 96 kaunter rugi. 

 

Antara saham yang melonjak adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, Time Dotcom Berhad, Pentamaster Corporation Berhad, Genetec Technology Berhad, Frontken Corporation Berhad, Greatech Technology Berhad, UWC Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan D & O Green Technologies Berhad.

 

Nasdaq 100 yang mencapai paras tertinggi sejak November tahun lalu turut melonjakkan rata-rata saham di pasaran Asia untuk dibuka lebih tinggi hari ini.

 

Namun, dolar dan kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menyusut, jelas Bloomberg.

 

Nasdaq 100 melantun 4% memandangkan saham-saham dengan penilaian lebih tinggi melonjak semula seperti Tesla Inc. yang menokok 20%. 

 

Pergerakan itu membuatkan saham yang sebelum ini dijual menjadi bernilai di tengah-tengah prospek pakej rangsangan AS yang baharu dan vaksinasi sedang diperluaskan. 

 

Di Asia, saham Korea Selatan menyaksikan lonjakan sederhana dengan ekuiti Jepun turun dan naik. 

 

China akan kembali fokus setelah pembelian ekuiti oleh dana negara itu pada Selasa (semalam) gagal mengukuhkan pasaran, tambah Bloomberg. - DagangNews.com