Kawan Renergy peroleh kontrak fabrikasi bernilai RM11.8 juta daripada Chemical Industries | DagangNews Skip to main content

Kawan Renergy peroleh kontrak fabrikasi bernilai RM11.8 juta daripada Chemical Industries

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kawan Renergy Bhd menerusi Kawan Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM11.8 juta bagi kerja-kerja fabrikasi daripada Chemical Industries (Malaya) Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu merangkumi kerja-kerja  fabrikasi dan pemasangan bagi penukaran penggunaan gula jepada jaguh sebagai bahan mentah bagi kilang pengeluaran bioethanol di Ipoh, Perak. 

 

Katanya, kerja-kerja di bawah kontrak itu dijangka bermula pada 1 Julai 2024, dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan, bergantung pada tarikh penyerahan sebenar pemilikan tapak.

 

Pengarah Urusan Kawan Renergy, Ir. Lim Thou Lai berkata, kejayaan meraih kontrak itu menunjukkan keupayaan kumpulan alam menyampaikan rumusan kejuruteraan yang inovatif dan berkualiti serta mengukuhkan kredibiliti kumpulan dalam sektor itu.

 

Beliau berkata, buku pesanan kumpulan kini berjumlah RM138.3 juta, meliputi pelbagai projek termasuk peralatan proses industri, loji proses, dan loji tenaga boleh diperbaharui (RE) dan penjanaan bersama.

 

"Memandang ke hadapan, kami optimis terhadap permintaan terhadap RE dan loji penjanaan yang akan berkembang apabila syarikat memberi focus kepada peningkatan kecekapan tenaga dan mengurangkan jejak karbon.

 

"Kami juga sedang bersedia untuk menceburi perniagaan pengeluar tenaga bebas (IPP), yang memberi fokus kepada loji janakuasa biogas dan biojisim.

 

"Langkah strategik ini akan memanfaatkan keupayaan teknikal kami dan membolehkan kumpulan menjana lebih banyak hasil berulang dengan membangunkan dan mengurus projek tenaga kami sendiri," katanya. - DagangNews.com