KDN, MOF teliti semula undang-undang untuk tangani judi dalam talian yang semakin berleluasa | DagangNews Skip to main content

KDN, MOF teliti semula undang-undang untuk tangani judi dalam talian yang semakin berleluasa

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) sedang meneliti semula 0undang-undang berkaitan bagi menangani masalah perjudian dalam talian yang dilihat semakin berleluasa.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, berkata usaha dibuat adalah untuk memastikan undang-undang sedia ada relevan dengan perubahan modus operandi sindiket perjudian.

 

"Kerajaan sentiasa prihatin dalam isu perjudian terutama membabitkan perjudian dalam talian dan sebab itu kerajaan meneliti dan mengkaji mengenai sama ada perlu dibuat pindaan terhadap akta berkaitan.

 

"Dalam hal ini, KDN turut terbabit dalam kajian menambah baik undang-undang berkaitan perjudian yang sedang dijalankan oleh Kementerian Kewangan supaya sentiasa selaras dengan perkembangan semasa," katanya pada sesi jawab lisan kepada soalan Noorita Sual (PH-Tenom) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

 

Ismail berkata, seramai 2,165 individu sudah didakwa membabitkan aktiviti judi dalam talian tahun ini berbanding 2,911 pada tahun lalu dan 2,294 (2019).

 

"Beberapa langkah sudah diambil oleh pihak polis untuk mengesan serta membanteras kegiatan yang dijalankan ini, sama ada oleh orang perseorangan atau kumpulan sindiket," katanya.

 

Katanya antara tindakan yang diambil adalah mengadakan operasi dan serbuan secara berterusan melalui Op Dadu termasuk operasi bersepadu dengan kerjasama agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melumpuhkan kegiatan terbabit.

 

"Polis turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat laman sesawang perjudian di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia.

 

"Selain itu, tindakan yang lebih keras juga akan diambil di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.-DagangNews.com