KDN tambah kekuatan polis kepada 55,000 kuatkuasakan `lockdown' Jun ini | DagangNews Skip to main content

KDN tambah kekuatan polis kepada 55,000 kuatkuasakan `lockdown' Jun ini


KUALA LUMPUR 29 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada 55,000 anggota sepanjang pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini, berbanding 37,000 anggota semasa.

 

Di samping PDRM, KDN juga telah menggerakkan seramai 15,000 anggota lagi daripada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain yang menjadikan jumlah kekuatan tambahan keseluruhan sebanyak 70,000 anggota. 

 

"Walau bagaimanapun, KDN ingin memaklumkan bahawa kita bersedia untuk menambah jumlah anggota jika diperlukan melalui PDRM, JIM, APMM, RELA, ESCOMM, AKSEM, PENJARA, PKK serta AADK yang boleh digerakkan bagi tujuan penugasan tersebut," kata KDN dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain itu, KDN melalui PDRM juga akan meningkatkan bilangan Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding hampir 600 SJR pada masa ini.

 

Pemeriksaan secara mengejut juga akan dilaksanakan oleh Tim Pemantauan Pematuhan SOP dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti MITI, KSM, KKR dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan sektor sosial dan ekonomi. 

 

Jumlah Tim Pemantauan Pematuhan SOP tersebut akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang anggota berbanding 13,795 orang ketika ini. 

 

Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul. Selain dari OP BENTENG, APMM dan Pasukan Polis Marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan terutama di laluan-laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram.

KDN

Manakala JIM bersama JPN dan PDRM juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara.

 

KDN menasihatkan agar semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi memastikan keberkesanaan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ kali ini. 

 

BACA JUGA : POLIS SAHKAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DITAHAN DI SEKATAN JALAN KEMAMAN PADA 16 MEI 

 

"Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]," kata KDN. - DagangNews.com