KUALA LUMPUR 9 Nov. - Ketidaktentuan yang masih membelenggu pandemik COVID-19 akan terus memberi kesan kepada prospek pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan.
Ini mendorong Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang Capital) membuat unjuran yang lebih rendah berbanding sasaran kerajaan, 6.5 hingga 7.5%
Bank pelaburan itu menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 akan berkembang 6% dengan mengambil kira risiko berterusan yang akan mempengaruhi ekonomi negara.
"Sekiranya, kes COVID-19 terus meningkat dan langkah kawalan terpaksa dikuatkuasakan semula, tiada pasaran terbuka termasuk Malaysia akan terlepas daripada menerima impak negatif terhadap pertumbuhan global.
"Ini terutama apabila pertumbuhan global turut menjejaskan rantaian bekalan akibat wabak tersebut," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kementerian Kewangan membuat unjuran KDNK 2021 dengan bersandarkan harga minyak mentah Brent pada AS$42 setong berbanding AS$40 setong tahun ini, termasuk jangkaan pertumbuhan global, 5.2%.
Inflasi utama negara dijangka lebih tinggi pada 2.5% tahun hadapan dengan sasaran bajet defisit, -5.4% daripada KDNK.
Pada masa sama, Affin Hwang Capital juga menjangkakan terdapat risiko penurunan yang lebih rendah dalam pertumbuhan pelaburan swasta memandangkan ketidaktentuan luaran yang masih tinggi.
"Ini kerana pelabur luar masih berdepan dengan cabaran daripada penularan wabak COVID-19 di negara masing-masing, yang secara tidak langsung akan melambatkan atau menangguhkan pelaksanaan sebarang langkah pelaburan," katanya.
Situasi ini mendorong kerajaan memperuntukkan sebanyak RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dengan tumpuan kepada projek infrastruktur dan pembangunan dengan kesan pengganda yang tinggi untuk menyokong ekonomi domestik dan pertumbuhan pelaburan pada 2021.
Selain itu, menurutnya, dengan mengambil kira dana COVID-19 antara RM20 bilion hingga RM65 bilion di bawah Belanjawan 2021, kerajaan dijangka berdepan dengan bajet defisit sekitar -6.7% daripada KDNK pada tahun hadapan. - DagangNews.com