KDNK Malaysia dijangka cecah 6% pada 2021 | DagangNews Skip to main content

KDNK Malaysia dijangka cecah 6% pada 2021

Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Ekonomi Malaysia dijangka mencapai pemulihan yang lebih baik menjelang tahun 2021.

DBS Group Research berkata, jangkaan tersebut diletakkan meskipun kemungkinan pertumbuhan ekonomi negara menurun pada suku kedua 2020.

"Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berada pada anggaran -5.5% pada tahun 2020 sebelum mencatatkan pemulihan kepada 6% pada 2021.

"Peratusan pemulihan yang diletakkan itu tidak termasuk sekiranya jumlah kehadiran pelancong dan permintaan luar meningkat pada Jun dan Julai 2020," jelas DBS Group Research.

Tambah nota kajian itu lagi, permintaan domestik negara menunjukkan prestasi kenaikan yang baik, namun dipengaruhi oleh sentimen domestik yang tidak memuaskan.

Menyentuh isu situasi COVID-19 di negara ini, kajian itu memberitahu, kadar jangkitan di Malaysia semakin menurun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu.

Jelasnya, langkah PKP yang dijalankan itu adalah seiring dengan pelaksanaan yang dijalankan oleh enam negara ASEAN lain.

"Aktiviti tempat kerja dan transit di negara ini telah pulih pada kadar sekitar 20% di bawah tahap pra COVID-19," jelasnya.

Dalam nota kajian yang sama, DBS Group Research memberitahu, kadar eksport dan output industri yang mengalami penurunan telah pulih pada Jun dan Julai 2020.

Selain itu, perubahan dalam kitaran elektronik peringkat global turut menjadi pemangkin kepada pemulihan sektor pembuatan di Malaysia. - DagangNews.com