KUALA LUMPUR 25 Julai - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia berkembang sebanyak 1.6% kepada RM1.8 trillion pada 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Perkembangan itu dalah jauh lebih kecil berbanding 15.9% yang dicatatkan pada 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun prestasi sederhana, ekonomi kekal berdaya tahan terutamanya melalui perbelanjaan penggunaan akhir swasta yang meningkat 6.7%.
"Pertumbuhan ini didorong oleh penambahbaikan yang sedia ada dalam pekerjaan dan upah melalui pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 bermula Mei 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Statistik pendapatan yang dijana daripada pengeluaran dalam ekonomi merangkumi tiga komponen utama iaitu pampasan pekerja (PP), lebihan kendalian kasar (LKK) dan cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import (Cukai bersih).
Mohd Uzir berkata, berikutan penambahbaikan dalam pasaran buruh, PP merekodkan pertumbuhan yang kukuh 4.2% sementara LKK menurun 1.8%, manakala prestasi agihan pendapatan itu menunjukkan peralihan ke arah sumbangan PP yang lebih baik iaitu 33.1% berbanding 32.3% pada 2022.
"Namun begitu, LKK masih menyumbang dengan ketara kepada KDNK pada 64.8% walaupun 2.3% lebih rendah daripada tahun sebelumnya. Komponen selebihnya ialah cukai bersih yang menyumbang sebanyak 2.1%," katanya.
Katanya, melihat kepada prestasi sektoral yang lebih terperinci, peningkatan komponen PP yang merangkumi saraan yang diterima oleh pekerja untuk tenaga kerja adalah didorong oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
"PP dalam sektor perkhidmatan bertumbuh 4.3 peratus, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor terutamanya perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan. Bagi sektor pembuatan, PP mencatatkan pertumbuhan 3.3%, disumbangkan penyederhanaan dalam produk elektrik, elektronik dan optik," katanya.
Mohd Uzir berkata, penurunan dalam LKK dipengaruhi terutamanya oleh kemerosotan mendadak dalam sektor perlombongan & pengkuarian (-12.1%), pertanian (-13.2%) dan Pembuatan (-5.6%).
"Kejatuhan harga komoditi pada tahun 2023 telah menjejaskan keuntungan merentasi sektor-sektor ini, sekali gus menyumbang kepada penurunan ketara keseluruhan LKK. Namun, penyusutan ini sebahagiannya diperlahankan dengan pertubumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan masing-masing pada 5.3% dan 1.3%," katanya.
Beliau berkata, cukai bersih, komponen yang mewakili sumber pendapatan kepada kerajaan, menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu 242% atau RM37.7 bilion pada 2023, disokong oleh hasil cukai yang lebih tinggi berbanding penurunan dalam subsidi.
Katanya, cukai ke atas pengeluaran dan import meningkat 3.1%, didorong oleh pertumbuhan dalam cukai perkhidmatan dan duti import. - DagangNews.com