KDNK suku kedua dijangka sekitar 11% hingga 12% - AmInvest | DagangNews Skip to main content

KDNK suku kedua dijangka sekitar 11% hingga 12% - AmInvest

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2021 (2Q21) dijangka terjejas susulan prestasi semasa Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan.

 

AmInvest Research berkata, purata PMI pembuatan pada kadar 48.4 bagi suku kedua 2021 memberi risiko kepada penurunan pertumbuhan KDNK suku kedua.

 

Menilai kepada purata eksport sebanyak 44.0% tahun ke tahun dan jangkaan aktiviti eksport sektor pembuatan serta suntikan pakej rangsangan Pemulih, AmInvest Research menjangkakan KDNK bagi suku kedua akan bergerak sekitar 11% hingga 13%.

 

Bagaimanapun, AmInvest Research mengekalkan jangkaan KDNK tahun penuh pada 4.0% hingga 4.5%.

 

PKP 3.0 memberi kesan buruk terhadap ekonomi khususnya terhadap PMI Julai yang menunjukkan peningkatan kecil pada tahap 40.1 berbanding 39.9 pada Jun.

 

AmInvest Research berkata, prestasi berkenaan masih dibawah tahap penguncupan iaitu di bawah tahap 50 bagi tempoh lima bulan antara Januari dan Julai.

 

Prestasi PMI yang lemah adalah disebabkan oleh penurunan output yang berturusan serta jumlah pesanan baharu, didorong oleh tahap permintaan dan keyakinan yang rendah.

 

Situasi berkenaan bagaimanapun diimbangi oleh permintaa luaran semakin baik dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

Baca: Prospek sektor pembuatan kurang diyakini, dijangka pulih menjelang 4Q21 - Kenanga

 

Bagi rekod, prestasi PMI di China menunjukkan sedikit penurunan pada Julai kepada 50.3 berbanding 51.3 pada Jun.

 

Prestasi berkenaan merosot kepada paras terendah sejak 15 bulan susulan kejatuhan permintaan buat pertama kalinya dalam tempoh 12 bulan, kerana kos bahan mentah yang lebih tinggi akhirnya menyekat jumlah jualan.

 

Bagi Amerika Syarikat (AS) pula, PMI pembuatan merekodkan peningkatan ke tahap tertinggi kepada 63.1 pada Julai berbanding 62.1 pada bulan sebelumnya.

 

Prestasi tersebut didorong oleh permintaan yang kukuh di peringkat domestik. - DagangNews.com