KUALA LUMPUR 14 Ogos - Susulan lanjutan moratorium yang diumumkan baru-baru ini, beberapa bank didapati akan mengenakan kadar faedah terakru dan dikompaun pada pinjaman untuk tempoh moratorium yang dilanjutkan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon berkata, tindakan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan memandangkan moratorium yang dilanjutkan itu disasarkan khusus untuk golongan kurang berkemampuan.
"MTUC meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyatakan dengan tegas bahawa bank-bank tidak akan mengenakan faedah terakru atau faedah kompaun semasa lanjutan moratorium.
"Semasa moratorium dijalankan selama enam bulan lalu, bank-bank mendiamkan diri dan tidak mempeduli terhadap isu faedah terakru ini, sebaliknya memilih untuk menjenamakannya sebagai 'muhibah' dalam mengetepikan faedah kompaun selama enam bulan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak bank dan kerajaan perlu memastikan lanjutan moratorium tiga bulan yang dijalankan secara khusus kepada mereka yang masih terjejas ini tidak melibatkan sebarang caj tambahan oleh bank.
Jelasnya, kerajaan perlu memaksa bank agar tidak mengenakan caj tambahan kepada peminjam dan perkara tersebut perlu dinyatakan dengan jelas dalam borang permohonan serta perjanjian pinjaman baharu yang disemak semula dan ditandatangani oleh peminjam dengan bank.
Pengecualian tersebut harus sama dengan apa yang diberikan semasa pembayaran faedah selama enam bulan pada moratorium sebelum ini.
Dalam kenyataan yang sama, MTUC menegaskan agar kerajaan melanjutkan moratorium secara automatik kepada peminjam dalam kelompok B40 dan M40 tanpa syarat.
"Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh beberapa bank mengenai proses permohonan, MTUC tidak melihat cara tersebut mudah bagi peminjam yang layak.
"Sebilangan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian, sementara kategori pinjaman lain memerlukan pemohon datang ke bank. Perkara itu mampu memberi risiko kesihatan dan keselamatan wabak COVID-19," jelasnya lagi.
Tambah Solomon, majoriti keluarga B40 dan M40 adalah golongan yang sangat memerlukan lanjutan moratorium dan berkemungkinan tidak terdedah dengan cara permohonan dalam talian atau berpotensi menghadapi masalah dalam menyediakan dokumen yang diperlukan bank.
"Kami khuatir ramai peminjam yang memerlukan lanjutan moratorium ini akan kecewa kerana masalah birokrasi oleh pihak bank.
"MTUC memohon kerajaan agar memberi lanjutan moratorium secara automatik selama enam bulan lagi kepada kumpulan B40 dan M40 serta mengetepikan apa-apa caj faedah terakru atau kompaun atas pinjaman mereka selama tempoh tersebut," ujarnya. - DagangNews.com