Oleh Emir Mukmin
[email protected]
ALOR SETAR 29 Julai - Kedah yakin menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM4 bilion dalam sektor pembuatan pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi negeri, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail berkata, Kedah memiliki kelebihan tersendiri yang mampu menarik minat pelabur luar dan dalam negara.
"Kita ada pembangunan projek-projek ikonik seperti Bandaraya Getah Kedah dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang kian berkembang. Insya Allah, jika semuanya berjalan lancar, kita mampu mencapai sasaran ditetapkan," katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya yakin dengan sasaran pelaburan baru itu kerana ia cukup realistik bersandarkan laporan dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ini yang menunjukkan Kedah berada di kedudukan kelima bagi suku pertama dengan pelaburan berjumlah RM1.091 bilion.
Pada 2018, Kedah mencatatkan FDI dan DDI dalam bidang pembuatan berjumlah RM2.4 bilion sebelum melonjak kepada RM11.5 bilion sekali gus meletakkannya di kedudukan ketiga di belakang Selangor dan Pulau Pinang pada tahun lepas.
Ku Abd. Rahman menambah, jumlah RM4 bilion yang disasarkan itu bukanlah sesuatu yang aneh ketika seluruh dunia berdepan keadaan yang amat sukar akibat penularan COVID-19.
"Kita bekerja kuat unntuk mendapatkan pelabur dan RM4 bilion itu bukanlah nilai yang kecil. Kita berdepan cabaran di mana para pelabur tidak dapat datang ke sini untuk menilai potensi pelaburan dalam keadaan seluruh dunia kini 'berperang' dengan COVID-19.
"Laporan MIDA untuk suku pertama menunjukkan kita masih mencatatkan pelaburan tinggi berbanding negeri-negeri besar lain yang pernah menikmati jumlah pelaburan lebih tinggi sebelum ini. Tidak mustahil kita akan mencatatkan kedudukan lebih tinggi pada akhir tahun ini nanti," katanya.
Sementara itu katanya, perang dagang antara China dan Amerika Syarikat perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik kedatangan pelabur ke negara ini.
Begitu pun katanya, Malaysia perlu terus berusaha untuk menonjolkan diri bagi bersaing dengan negara-negara ASEAN dalam menarik pelaburan.
"Kita memiliki kekuatan tersendiri. Sebagai contoh di Kedah ini, kita memiliki jumlah tenaga kerja yang besar dan 'kuat' kerana di negeri ini terdapat banyak institusi pendidikan berkaitan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
"Justeru kita harap kerajaan Persekutuan dapat membantu Kedah untuk meraih peluang daripada kesempatan yang ada ini. Dalam masa sama di Kedah, kita sentiasa bersedia menyediakan tenaga kerja terlatih dan beberapa inisiatif lain seperti mempercepatkan kelulusan berkaitan majlis tempatan," katanya. - DagangNews.com